Jumlah pungutan Tabung Harapan Malaysia yang kini mencecah lebih RM74 juta masih tidak dapat menandingi jumah wang tunai yang ditemui di kondominium bekas Perdana Menteri di Pavilion Residences yang bernilai RM120 juta. Ini belum dihitung nilai semua 284 beg-beg tangan jenama mewah yang dirampas. Jika digabungkan semuanya, jumlah Tabung Harapan hanya tidak lebih separuh dari nilai keseluruhan wang tunai dan beg tangan mewah serta barangan kemas yang dirampas dari Pavilion Residences.
Kita berharap lebih ramai individu atau pihak tampil memberi sumbangan kepada Tabung Harapan dengan itu dapat mengurangkan beban kerajaan menanggung hutang negara akibat tindakan pemimpin terdahulu. Walaupun jumlah 74 juta tidak banyak mana berbanding hutang lebih RM686.8 bilion hutang rasmi kerajaan persekutuan, sekurang-kurangnya sebahagiannya telah berjaya diperolehi untuk membantu mengurangkan beban hutang sedia ada.
Kerajaan juga turut mempunyai komitmen untuk membayar jaminan kerajaan kepada entiti yang tidak mampu melunaskan hutang mereka seperti 1MDB, Prasarana Malaysia Berhad, Danainfra Nasional Bhd, Malaysia Rail-Link Sdn Bhd dan Govco Holdings Bhd. Kesemua komitmen ini berjumlah RM199.1 bilion.