Tambun Akan Jadi Pusat Pelancongan Limau Bali

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Tambun yang begitu sinonim dengan limau Bali atau lebih dikenali sebagai limau Tambun bakal dijadikan pusat tumpuan pelancong yang mahu mendapatkan buahan tersebut memandangkan permintaan terhadapnya begitu tinggi.  

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal berkata kebanyakan tanah yang diusahakan untuk tanaman buah tersebut adalah di atas tanah milik kerajaan negeri. Ada yang telah mengusahakan tanaman limau di atas tanah milik kerajaan sejak puluhan tahun lagi.

Beliau telah berbincang dengan pengusaha tanaman tersebut supaya ia diuruskan oleh syarikat berkaitan kerajaan.

“Saya sudah berbincang dengan pekebun dan cadangkan supaya tanah seluas 70 hektar di kawasan Tambun diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) supaya kita dapat mengekalkan kehijauan tanah ini dengan tradisi tanaman limau Tambun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Pekebun Buah Limau Bali Tambun dan Buah-Buahan Tempatan Tambun di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa syarat akan dikenakan selepas pengagihan tanah untuk pekebun, antaranya, hanya tanaman limau Tambun dibenarkan memandangkan kawasan itu hanya sesuai menghasilkan jenis buah berkenaan dengan baik.

Audit juga perlu dilakukan ke atas penggunaan tanah kerajaan negeri oleh pekebun di sini bagi memastikan ia diurus dengan betul, katanya.