Tiada Definisi ‘Tanah Adat’ Dalam Undang-undang Tubuh Negeri

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Tanah adat yang diperjuangkan oleh NGO untuk masyarakat orang Asli hanya pada istilah, hakikatnya ia tidak wujud dalam Undang-undang Tubuh Negeri.

Demikian penjelasan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jasamu Dikenang di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri kekal dengan pandangan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri dan tidak pernah mengiktiraf tanah adat bagi mana-mana kaum sekalipun.

“Setakat yang saya tahu sebagai Menteri Besar dan rakyat negeri Perak, kita tidak mempunyai tanah adat untuk Orang Asli… itu “clear”.

“Tetapi kalau ada segolongan NGO yang mengatakan kita perlu berjuang untuk tanah adat Orang Asli, bagaimana pula kalau tiba-tiba ada Melayu Mandailing minta kerajaan menyediakan tanah adat untuk mereka pula?

“Orang Jawa, orang Cina, orang India cakap perkara yang sama … akhirnya apakah kita perlu bahagikan tanah kerajaan negeri Perak ni sama rata hingga kita boleh membiarkan tanah itu, jika hendak dimajukan satu hari nanti tanpa mengikut perancangan yang betul,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat konflik tertentu antara kerajaan negeri dengan masyarakat Orang Asli di negeri ini, beliau menegaskan hubungan pada tahap yang amat baik cuma ada sedikit permasalahan di beberapa kawasan.

“Hubungan kami (kerajaan negeri) dengan semua rakyat termasuk Orang Asli di tahap yang amat baik, cuma ada sedikit permasalahan di kawasan tertentu.

“Kita ada masalah di Hulu Perak di mana ada segolongan kecil kaum Orang Asli yang mengadakan bloked menentang kerja-kerja pembalakan di kawasan itu, ada masalah satu dua di kawasan tertentu berkenaan penyediaan tapak atau lokasi tanah perkuburan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, NGO Centre for Orang Asli Concerns (COAC) memaklumkan tiga orang penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Sungai Papan, Gerik ditangkap ketika operasi merobohkan sekatan yang dibina penduduk di sana bagi menghalang pembalak memasuki kawasan itu.

Masyarakat Orang Asli mendakwa pembalak melanggar hak tanah adat mereka tetapi kerajaan negeri telah meluluskan permit pembalakan kepada syarikat pembalakan di situ.