PUTRAJAYA | Baharu saja semalam Panglima Angkatan Tentera mengeluarkan kenyataan menafikan mobilisasi aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan untuk mengambil -alih situasi negara sebaliknya adalah untuk kembali ke kem, hari ini Menteri Pertahanan berkata tentera akan digerakkan pada Ahad ini untuk membantu polis dalam memastikan orang awam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung wabak koronavirus.
Menterinya, Ismail Sabri Yaakob berkata beliau yakin dengan bantuan tentera, perintah itu akan dilaksanakan dengan berkesan.
“Kami berharap rakyat akan menunjukkan pematuhan yang lebih baik terhadap perintah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan polis, terdapat peningkatan yang ketara dalam pematuhan orang ramai terhadap perintah itu.
Beliau pada Khamis (19 Mac) ada mengeluarkan kenyataan bahawa angkatan tentera mungkin terpaksa digerakkan jika orang awam masih engkar arahan PKP.