‘Terima Kasih Sebab Datang Tengok Saya’

Reading Time: 2 minutes

LARUT: “Terima kasih sebab datang tengok (ziarah) saya.’’ Itulah ungkapan Rashibah Hussin, mangsa bencana tanah runtuh di Kampung Terak, Ijok kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang menziarahinya di Hospital Selama tengah hari tadi.

Susulan kejadian tanah runtuh yang menimpa sebuah rumah di situ, Menteri Besar bergegas dari Kuala Lumpur pagi ini untuk melawat mangsa kejadian yang sedang menerima rawatan di hospital itu.

Turut hadir AhIi Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainudin.

Rubiah yang cedera di kaki kanan dalam kejadian petang semalam berkata, beliau akan tinggal sementara  di rumah anaknya tidak jauh dari Kampung Teras, sebaik dibenarkan keluar dari hospital dalam beberapa hari lagi.

Menceritakan detik  bencana yang memusnahkan rumahnya Rashibah berkata, dia terdengar beberapa bunyi dentumah kuat seperti guruh sebelum melihat runtuhan tanah menghempap bahagian dapur rumahnya.

Difahamkan dinding rumahnya runtuh dan sebahagian  runtuhan terkena kaki mangsa menyebab keretakan pada kaki kanannya.

Sewaktu kejadian. Rashibah berada di rumah bersama cucunya Sarah Juhan, 25, yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Alhamdullilah syukurlah makcik dan cucu selamat, harap-harap doktor benarkan balik secepat mungkin,’’ katanya lagi.

Sementara itu Ahmad Faizal memaklumkan Rashibah kerajaan negeri akan membantu  membina semula rumah mangsa selepas pihak berkaitan selesai menstabilkan cerun  di kawasan terjejas dan mengesahkan ianya selamat.

Rashidah adalah antara tiga mangsa yang cedera dalam bencana tanah runtuh kira-kira jam 6.20 petang semalam yang mengorbankan jiran mereka, Hanudin Bahazim, 60 tahun.

Mangsa terkorban apabila dihempap runtuhan dinding dapur rumahnya dan jenazah Hanudin berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat sekitar  jam  10.30 malam tadi.

Sebelum ke Hospital Selama tadi, Ahmad Faizal sempat menghadiri majlis pengkebumian Allahyarham Hanudin sebelum ke lokasi kejadian dan mendengar taklimat  daripada pihak polis dan Jabatan Kerja Raya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semua mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum kejadian itu dan akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian serta mengambil langkah-langkah segera supaya kejadian ini tidak berulang.

“Dengan penuh hiba dan dukacita, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Hanudin Bahazim yang disahkan terkorban.

“Bersama kita doakan agar keluarga mangsa dikurniakan ketabahan menghadapi dugaan yang begitu berat ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada semua anggota penyelamat dari jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan yang telah terlibat dalam operasi dan membantu mangsa di lokasi,” katanya.

Sementara itu Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, siasatan awal mendapati, tanah runtuh berlaku di Seksyen 16.4 Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi, Selama sepanjang 200 meter.

“Laluan berkenaan sama sekali tidak boleh dilalui pengguna, bagaimanapun kerja-kerja pembersihan dan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilakukan bagi mengawal keadaan di situ,” katanya.