IPOH | Tiada sebarang plot atau sebarang usaha untuk menyingkirkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, demikian tegas Exco Kerajaan Negeri Perak, Dr. Abdul Aziz Bari.
Katanya, dakwaan yang mengaitkan beliau dengan usaha itu juga tidak benar kerana ia tidak semudah itu.
Menurut Dr Abdul Aziz, pelantikan Menteri Besar ditentukan oleh Majlis Pimpinan PH dan nama akan dihantar ke istana untuk mendapatkan perkenan Sultan.
“Tidak ada plot atau apa-apa usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar oleh saya. Jadi tak betul kata saya nak jatuhkan Menteri Besar. Langsung tak masuk akal dan melawan sistem.
“Macam mana saya nak jatuhkan dia saya dah sebut tidak ada undi tak percaya kalau UMNO nak cakap itu soal dia. Saya team player saya tak buat keputusan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Media Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan bahawa Abdul Aziz sanggup menukar ‘baju’ kepada Bersatu untuk pastikan dilantik sebagai Menteri Besar Perak.
Menurut Abdul Aziz, laporan tersebut seolah-olah cuba menggambarkan beliau sebagai gila kuasa, tidak sabar dan tikam belakang.
Katanya, hubungan beliau dengan Ahmad Faizal tiada masalah secara peribadi namun dari segi polisi juga tiada sebarang percanggahan.
Abdul Aziz turut menjelaskan bahawa DAP juga tidak ada usaha untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.
“Jika ia dilakukan, segala-galanya akan jatuh. Menteri besar ditukar oleh kepimpinan bukan melalui undi tak percaya. Saya dengan Menteri Besar ok dari segi polisi pun tiada apa-apa percanggahan,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Perak.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan akhbar itu, Abdul Aziz berkata, tiada tindakan akan diambil kerana beliau percaya dengan kebebasan akhbar meskipun ada dicadangkan oleh rakan-rakan Exco.