Tiket Final Dijual Dalam Talian Cecah RM200

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

Tiket perlawanan akhir antara Perak dan Terengganu yang akan berlangsung esok di dapati dijual di pasaran dalam talian dengan harga dari RM99 hingga mencecah RM200 sekeping.

Tinjauan Independent di laman jualan pantas dalam talian mudah.my mendapati beberapa individu dengan tidak segan silu mengiklankan jualan tiket dengan meletakkan nombor telefon untuk dihubungi untuk pembeli yang terdesak mendapatkan secara C.O.D. dan yang menghairankan, lokasi mereka kebanyakannya bukan dari negeri yang bertanding baik Perak mahupun Terengganu.

 

Mereka ini pula menjual lebih dari satu unit tiket, ada yang tidak rasa segan memuatnaik gambar sebilangan tiket untuk dijual. Ini menunjukkan mereka bukan peminat atau penyokong pasukan tersebut sebaliknya mereka membeli secara borong dan menjualnya semula semata-mata untuk mengaut keuntungan yang tidak seberapa.

Tidak hairanlah jualan tiket di beberapa lokasi semalam habis dalam masa singkat. Di Stadium Perak misalnya, kaunter ditutup selepas setengah jam jualan kerana tiket telah kehabisan.

Terdapat mereka yang kecewa tidak berjaya mendapatkan tiket membuat jenaka dengan melukis gambar tiket dengan pena biru di atas sekeping kertas dan mengiklankan jualan di laman mudah.my dengan harga RM30.

Semalan, Presiden PAFA Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dalam kenyataan video yang dimuatnaik di laman Facebook menyatakan kekesalan kerana masalah yang berlaku dan memohon maaf bagi pihak PAFA. Beliau menyatakan tiada siapa yang memonopoli jualan tiket namun mengakui terdapat beberapa pihak yang mengambil kesempatan membeli dan menjual kembali dengan harga berlipat kali ganda. Beliau mengajak mereka yang tidak pergi ke Shah Alam untuk sama-sama menyaksikan tayangan secara langsung perlawanan akhir tersebut melalui skrin besar di hadapan Stesen Keretapi Ipoh pada malam esok.

Masalah yang berlaku setiap kali perlawanan penting seperti ini berlangsung telah berulang sejak bertahun-tahun yang lalu dan sudah sampai masanya pihak penganjur mengubah strategi jualan kepada jualan tiket secara dalam talian dan mengetatkan syarat-syarat supaya ia lebih telus, tidak ada monopoli dan tidak mudah dieksploitasi pihak tertentu.