Pemimpin Tua Bekerja 7 Hari Seminggu, Pemimpin Muda Cuti Seminggu

Reading Time: 2 minutes

Sejak Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 10 Mei 2018, sehingga hari ini beliau tidak pernah bercuti lebih dari sehari.

Pada usia 93 tahun, Tun memang dikenali sebagai seorang yang tidak boleh duduk diam dan lebih suka bekerja dan memerah otak dari beristitrehat di rumah apa lagi pergi melancong. Kalau ke luar negara pun, atas tugas rasmi, bukan sengaja berjalan melihat-lihat pemandangan negara asing atau berselfie. Itu bukan sifat yang ada pada Tun.

Tapi malang sekali nampaknya ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang masih muda, yang boleh dianggap setaraf dengan anak Tun sudah mula mengambil cuti dan mengambil peluang untuk melancong ke luar negara. Cuti pula bukan sehari dua, tapi seminggu dan lebih dari itu. Ini amat pelik. Ketika zaman Zambry Abd Kadir menjadi Menteri Besar dahulu pun, saya jarang sekali mendengar beliau mengambil cuti sehingga lebih seminggu. Kalau Zambry atau pemimpin Barisan Nasional lain bercuti, mereka tidak suka heboh, tidak riak dan kalau boleh percutian mereka dirahsiakan. Tidak ada swafoto di hadapan Menara Eiffel atau menara Big Ben London atau sedang menikmati kopi bru di kafe Itali di akaun media sosial mereka, kecuali beberapa kerat pemimpin yang tidak tahan nafsu mereka mahu menunjuk-nunjuk kepada rakyat yang hidup susah hanya mampu melihat di dalam gambar.  

Semua orang tahu mereka mampu pergi ke mana sahaja tapi tidak perlu menunjuk-nunjuk kepada dunia bahawa mereka telah sampai ke Greenland sekalipun. Yang lebih pelik, percutian mereka ini pula tidak dimaklumkan kepada pemimpin PH lain yang sedang bertungkus lumus bekerja di dalam negeri memastikan setiap aduan permasalahan rakyat didengari dan mereka ini terpinga-pinga bila diberitahu bahawa rakan sejawat mereka sedang bercuti – ke luar negara, seminggu atau lebih lama.

Tidak salah untuk sekali-sekala bercuti menenangkan fikiran melupakan sementara masalah di dalam negeri tetapi waktu yang dipilih amat tidak sesuai. Mereka ini seolah-olah tidak ada kerja dan terlalu banyak masa percuma sehingga boleh mengambil cuti yang begitu lama. Tambahan pula, sebagai pemimpin muda, jauh lebih muda dari Tun, mereka sepatutnya mengambil teladan dari Big Boss mereka yang belum pernah bercuti lama sejak menjadi Perdana Menteri, walaupun beliau telah berehat lama selepas meletak jawatan Perdana Menteri ke-empat dahulu.

Tun sedar dirinya amat diperlukan ketika ini, dalam keadaan negara sedang mengalami defisit kewangan yang teruk selepas hutang yang ditinggalkan oleh legasi Najib Razak. Tun benar-benar berasa bertanggungjawab dan bekerja keras untuk memastikan kerajaan dapat memenuhi kehendak rakyat, memperbaiki kehidupan rakyat dan menyelamatkan masa depan negara. 

Kalau masalah rakyat pun masih banyak belum dapat diselesaikan di dalam negeri, dengan bajet negeri yang terlalu ‘ketat’, dimanakah rasionalnya mereka ini mengambi kesempatan untuk bercuti ke luar negara dalam masa yang agak panjang? Benarkah elaun mereka dipotong sebanyak 10 peratus untuk disalurkan kepada tabung Selamatkan Malaysia?

Adalah lebih mulia sikap yang ada pada anak Perak, Mohd Zamzuri Suaib yang melancong ke luar negara dengan basikal BMXnya dan membawa nama negeri ke serata pelusuk dunia. 

BA

Gambar sekadar hiasan

 


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mewakili pendapat atau pandangan rasmi Independent.my