Zahid Tegaskan Tidak Akan Berehat Atau Berundur

Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata beliau tidak melihat sama ada berehat atau berundur sebagai pilihan buat dirinya pada masa ini, menurut laporan portal dalam talian UMNO Online semalam.

Menurut laporan itu lagi, Zahid menambah bahawa beliau telah diberikan mandat oleh perwakilan dan hanya perwakilan sahaja yang layak menentukannya.

Beliau dipetik sebagai berkata, “Saya pun tahu, bahawa pendakwaan terpilih seperti yang saya hadapi sekarang akan berlaku di bawah pentadbiran kerajaan baru hari ini.

“Dan apabila keadaan ini berlaku dan ada cadangan untuk saya mengambil cuti, dalam erti kata lain untuk berundur, saya tidak menganggap ianya sebagai satu pilihan. Mengalah bukan satu pilihan buat saya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di sini ketika mengulas tindakan Pemuda UMNO yang mencadangkan beliau berehat buat seketika sehingga kesnya selesai dibicarakan.

Pemuda UMNO berpendapat Zahid perlu menumpukan kepada perbicaraan kesnya dan tidak harus dibebankan dengan tugas-tugas sebagai Presiden parti.

Zahid seperti menempelak sayap Pemuda itu dengan berkata bahawa sepatutnya perkara itu dimaklumkan kepadanya atau Timbalan Presiden tetapi mereka memilih untuk bercakap dengan media.

“Dan tentunya mereka ini mempunyai sebab yang tersendiri untuk melakukan perkara yang sedemkian,” ujarnya seperti yang dipetik dari UMNO Online.

“Saya menyeru agar pemuda sama-sama bangkit untuk melawan musuh politik dan menyelamatkan parti yang sedang diancam dengan pelbagai perkara termasuklah ancaman untuk membubarkan UMNO,” katanya.

Justeru, beliau mengambil keputusan untuk tidak mahu berehat atau berundur dari politik, sebaliknya akan terus menggalas jawatan yang telah diamanahkan dalam parti.