Kita pernah melihat rompakan harta, rompakan wang tetapi ini kali pertama kita melihat ‘rompakan kerajaan’ di mana mereka membentuk kerajaan melalui pintu belakang, begitu menurut wakil rakyat Hulu Kinta, YB Mohamad Arafat.
“Ini merupakan perbuatan yang sangat jijik dan tidak boleh diterima langsung. Mereka mengkhianati rakyat!
“Pada PRU (pilihan raya umum) lepas, rakyat telah menolak parti Barisan Nasional, UMNO, PAS dan memilih Pakatan Harapan untuk memerintah, apa yang berlaku seolah tiada nilai untuk rakyat yang telah (keluar) mengundi,” ujarnya dalam satu sidang video yang dirakam secara langsung dari Pusat Khidmat DUN Hulu Kinta, Tanjung Rambutan petang tadi.
Katanya lagi, mereka telah menafikan hak rakyat yang memilih akhirnya mereka buat kerajaan melalui pintu belakang.
Menjawab soalan dari warga net, beliau berpendapat Perdana Menteri baru tidak akan bertahan lama kerana ia lambat-laun akan terpaksa tunduk kepada permintaan anggota parti gabungan dari UMNO dan PAS.
“Parti Bersatu adalah minoriti, sedangkan mereka sendiri tidak bersatu, ada yang menyebelahi Tun Mahathir, ada yang menyebelahi PM sekarang, PM sedia ada tak akan lama,”katanya.
Tambahnya, gabungan dengan ‘perompak’ dan ‘penyamun’ tidak akan bertahan lama kerana PM sekarang mewakili parti minoriti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“UMNO dan PAS boleh membuat pelbagai permintaan yang tidak munasabah mengikut kehendak mereka dan jika permintaan itu tidak dapat ditunaikan, akhirnya mereka akan mengugut untuk keluar dari PN.
“Akhirnya kerajaan yang baru ditubuh akan kembali jatuh,”kata Arafat.
Beliau memberitahu bahawa sepanjang tempoh seminggu pergelutan politik baru-baru ini, beliau berada di Kuala Lumpur mengikuti perkembangan dari dekat dan melihat sendiri apa yang sedang berlaku.
“Saya difahamkan ini adalah komplot untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan oleh Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin … mereka berbohong kepada Tun bahawa Tun tidak mendapat sokongan dari PH,”jelas beliau.
Menyentuh tentang tindakan keluar parti secara beramai-ramai oleh anggota PKR di Ipoh semalam, beliau berkata ia tidak memberi kesan besar kerana kebanyakan yang keluar itu adalah anggota yang baru menyertai PKR pada 2019.
“Mereka sertai kita apabila kita menjadi kerajaan … mereka keluar apabila kita tidak lagi menjadi kerajaan. Mereka masuk kerana kuasa, dan keluar pun kerana kuasa, ia tidak menghairankan,”katanya.