Tuduhan tidak berasas Muhyiddin dalam perutusan terkini keruhkan lagi keadaan

Reading Time: 2 minutes

The Third Force (4 Feb 2021) Peringatan yang disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua pihak “berhenti melemparkan tohmahan terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong” dalam memperkenankan proklamasi darurat jelas menunjukkan beliau tidak prihatin dan tidak peka terhadap sentimen rakyat atau sengaja memutar belit keadaan.

Hakikatnya, tidak ada pihak yang melemparkan tohmahan atau mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat ataupun mencabar Seri Paduka Baginda Tuanku di mana-mana mahkamah.

Sebaliknya, yang dipersoal ialah locus standi Muhyiddin dalam menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat memandangkan Muhyiddin jelas hilang majoriti di Dewan Rakyat pada ketika nasihat itu diberikan.

Ramai juga yang mempersoal kegagalan Peguam Negara melaksanakan tangungjawabnya untuk menasihati Muhyiddin agar beliau menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk samada meletakkan jawatan ataupun meminta pembubaran Dewan Rakyat seperti yang diwajibkan di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan permohonan untuk diberi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Tan Sri Idris Harun berhubung kegagalan itu.

Antara lain, Khairuddin meminta mahkamah membuat pengisytiharan bahawa Idris sebagai Peguam Negara gagal melaksanakan tangungjawab yang berkewajipan untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menasihati Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa Muhyiddin hilang sokongan majoriti sejak 9hb Januari 2021 dan tidak layak memberikan apa-apa nasihat sebagai Perdana Menteri di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan timbul tanda soal yang teramat besar dan kekeliruan di kalangan rakyat jelata berhubung perkara-perkara ini, dan memandangkan ianya tidak pernah diendahkan oleh Muhyiddin atau Peguam Negara, rakyat terpaksa melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menegakkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Ini menjelaskan permohonan yang difailkan oleh Khairuddin semalam dan saman pemulanya terhadap Muhyiddin dan Kerajaan Malaysia pada 18hb Januari 2021.

Saman itu adalah bagi meminta pandangan dari badan kehakiman tentang kedudukan seorang perdana menteri yang hilang sokongan majoriti bagi menentukan samada beliau mempunyai ‘locus standi’ untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat.

Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datuk Johari Abdul dan Abdul Aziz Bari turut membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung nasihat Mahyuddin terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan tindakan menggantung persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi kesemua negeri.

Permohonan Salahuddin juga bertujuan menyemak kuasa-kuasa Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco Negeri yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen atau DUN.

Apakah Muhyiddin ingin rakyat Malaysia terus resah dan keliru disebabkan kerenah pemimpin gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang kemaruk kuasa dan mengabaikan tanggungjawab berperlembagaan mereka untuk menegakkan kebenaran?