Tulang di Gua Kandu Bukan Tulang Baru

Reading Time: < 1 minute

Foto oleh eazytraveler.net

Tulang-tulang yang ditemui penduduk kampung semasa operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail, Mohd Ashraf Hassan yang hilang sejak 23 Mac lalu bukan tulang yang baru.

Demikian menurut laporan sebuah akhbar tempatan merujuk kepada kenyataan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

“Carian dijalankan unit forensik di lokasi itu, tidak menemui tengkorak, rangka atau tulang lain.

“Hanya yang ditemui satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang enam ke lapan inci di dalam Gua Kandu,” kata Razarudin.

Bagaimanapun, semua tulang yang ditemui itu telah diambil dan dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan pengesahan selanjutnya.

“Setakat ini kita belum boleh mengesahkan apa-apa, kita akan umumkan hasil ujian sebaik keputusan diperolehi nanti,” katanya.

Menurutnya lagi, jika ia disahkan memang tulang manusia, polis akan membuat ujian DNA jika terdapat kemungkinan ianya sama dengan DNA ahli keluarga Ashraf.