(ULASAN) – Malaysia Bakal Diperintah ‘Laki Bini’?

Reading Time: 2 minutes

Tawaran perletakan jawatan kerusi Parlimen Port Dickson oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 mendapat respon yang pelbagai dari orang ramai di media sosial.

“Aku mengundi untuk Pakatan Harapan, bukan untuk PKR,” kata salah seorang pengguna media sosial.

“Terbaik Datuk Seri. Rakyat Malaysia telah menunggu saat ini dan dahagakan kepimpinan kamu untuk membawa Malaysia ke hadapan,” komen seorang yang memuji tindakan Datuk Seri Anwar itu.

Malaysiakini melaporkan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berpendapat kehadiran Rafizi Ramli di sebelah Datuk Danyal dalam sidang media pengumuman perletakan jawatan menunjukkan rancangan Rafizi secara rahsia untuk mewujudkan satu pilihanraya kecil.

Dalam laporan yang sama, Zuraida Kamaruddin mendakwa ia diputuskan tanpa mengikut saluran parti yang betul.

Tidak kira betul atau tidak, jalan telahpun dibuka untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen dan ini bakal menyaksikan Malaysia mendapat Perdana Menteri yang baru yang telah menunggu jawatan itu sejak 20 tahun.

Pilihanraya Kecil Port Dickson bakal berlangsung dan kemenangan Anwar sudah pasti dijangka. Yang belum pasti, jika Anwar naik menjadi PM, adakah Datin Seri Wan Azizah akan kekal memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri?

Jika Wan Azizah dikekalkan, maka Malaysia akan mencatit satu lagi sejarah apabila negara diperintah oleh pasangan laki bini – suami sebagai Perdana Menteri, isteri sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini bakal menjadi satu perkara yang amat memalukan negara. Mana tidaknya, satu pasangan suami isteri bukan saja menjawat berbilang jawatan dalam kabinet, malah mereka berdua adalah orang yang akan mencorak masa depan negara.

Sebarang tindakan, dasar kerajaan bukan saja dibincang semasa di pejabat, malah mereka juga membawa perbincangan sehingga di atas katil. Ini adalah suatu perkara yang amat memalukan dan memualkan.

Jika ditakdirkan Anwar menang dan jadi PM, maka Wan Azizah tidak ada cara lain perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan melepaskan jawatan lain sebagai Menteri kabinet menjadi anggota Parlimen sahaja.