Agenda Reformasi ’99 Sudah Tidak Relevan

Reading Time: 3 minutes

Perjuangan untuk menghumban Barisan Nasional dari tampuk pemerintahan  yang berkuasa selama berdekad-dekad telah pun berjaya dilakukan.

Dari catitan sejarah, Parti Keadilan Rakyat, ditubuhkan adalah respon terhadap tindakan rejim Mahathir yang menghumban Anwar Ibrahim dan meletakkan tuduhan liwat terhadapnya.

Anwar Ibrahim menterjemah tindakan Mahathir ketika itu kepada agenda nasional. Beliau melaungkan reformasi pentadbiran secara keseluruhan. Beliau berjaya menghimpun seramai mungkin pengikutnya. Pada masa itu, pengikut Anwar menganggap Anwar adalah PKR dan PKR adalah Anwar.

Hari ini, ia tidak boleh terpakai lagi. Simbolik perjuangan mata lebam adalah kerana Anwar Ibrahim itu sendiri sebagai individu dan rakyat tidak berparti yang menyokongnya adalah kerana berasa simpati terhadap beliau. Bukan kerana parti PKR. Undi yang diperolehi Barisan Alternatif dalam mengurangkan majoriti Barisan Nasional dalam PRU 1999 adalah kerana undi marhaen yang tidak berparti, bukan kerana undi ahli parti. Ada ramai lagi rakyat marhaen yang mengikuti perkembangan politik dengan penuh minat walhal mereka tidak menyertai mana-mana parti politik. Ini dibuktikan dengan demografi pengundi versus jumlah ahli parti.

Hari ini, segalanya telah berubah. Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7 di atas platform parti pembangkang yang turut disertai
Anwar sendiri. Kini BN pula menjadi pembangkang.

Agenda reform yang dilaungkan oleh pendokong Anwar sedang giat dilakukan oleh Tun Mahathir bersama-sama barisan kabinet baru beliau yang terdiri dari anggota parti DAP, PKR, parti cebisan PAS iaitu Amanah dan mereka yang kecewa dengan UMNO iaitu parti Bersatu. Antara mereka seperti Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Hal-Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan lain-lain. Pendek kata, semuanya sedang membuat ‘reformasi’ dalaman untuk kementerian masing-masing.

Adakah perjuangan menegakkan keadilan ekoran peristiwa hitam mata lebam masih relevan di tahun 2018 ini? Adakah perjuangan ‘reformasi’ pentadbiran masih relevan sedangkan Tun Mahathir sedang mengusahakannya sekarang?

Wan Azizah muncul dalam kancah politik adalah manifestasi kekecewaan terhadap tindakan ke atas suaminya yang merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri ketika itu diperlakukan seperti orang tidak bertamadun. Sebelumnya, beliau adalah seorang doktor kerajaan dan terlibat sebagai sukarelawan.

Beliau terlibat dalam politik bukan secara kebetulan. Menjadi Presiden Parti Keadilan Rakyat, beliau memulakan gerakan reformasi selepas penahanan suaminya pada 1999. Selepas dipecat dari kerajaan, Anwar Ibrahim berjaya mengheret sebilangan besar pengikut untuk menyertai gerakan menentang ketidakadilan yang berlaku semasa rejim Mahathir. Tindakan pemecatan yang bersifat peribadi telah diterjemah kepada tindakan isu nasional. Beliau meninggalkan untuk isterinya penyokong setia bersemangat kental yang bukan sedikit jumlahnya dan bukan calang-calang latarbelakang.

Nurul Izzah juga muncul atas manifestasi yang serupa – kekecewaan bapanya diperlakukan sedemikian rupa.

Tidak dinafikan kedua-duanya, si isteri, Wan Azizah dan anak perempuan mereka, Nurul Izzah menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri dan wakil rakyat kawasan masing-masing. Merekalah contoh pemimpin yang diperlukan. Tetapi biarlah setakat itu sahaja. Sebarang usaha untuk menaikkan suami dan bapa adalah usaha yang boleh dipertikaikan, lebih-lebih di era pasca PRU14 ini, di mana Tun sedang berusaha bersungguh-sungguh membuat reformasi pentadbiran, menentang rasuah dan salahguna kuasa habis-habisan. Maka apakah Malaysia masih perlu lagi kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri supaya agenda reform dapat dilakukan?

Kembali kepada sejarah dan garis masa perjuangan individu bernama Anwar Ibrahim dan parti PKR, sebenarnya rakyat mendengar laungan menuntut perubahan sejak puluhan tahun itu. Maka dengan itu rakyat sedang memberi peluang untuk melihat perubahan dilakukan. Rakyat mahu melihat Malaysia menjadi lebih baik dengan gandingan pemimpin baru, senior dan muda dari parti yang tidak pernah memerintah dan tidak ada pengalaman. Berilah peluang kepada barisan kepimpinan baharu ini untuk melakukan agenda perubahan atau ‘reformasi’.

Letakkan perjuangan nasional sebagai agenda utama bukannya perjuangan individu. Tidak kira siapapun yang jadi pemimpin, rakyat Malaysia kini sudah matang – Malaysia sedang menuju era baru di mana individu bukan lagi menjadi dasar perjuangan sebaliknya tindakan dan keputusan yang tepat dan betul serta sentiasa mendahulukan rakyat adalah agenda utama rakyat buat masa ini.

Pasca PRU14, misi menamatkan pemerintahan Barisan Nasional akhirnya telah tercapai. Tun Mahathir yang ditentang pada masa lalu telahpun ‘jump ship’ menyertai parti ‘reformasi’. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sedang ditentang habis-habisan. Amalan kronism dan nepotism dalam pemberian kontrak sedang ditangani dengan membuat tender terbuka. Pembaziran sedang ditangani dengan setiap perbelanjaan kerajaan diperhalusi dan diperincikan.

Laungan reformasi ’99 sudah tidak relevan di tahun 2018. Ia sudah patut dihentikan. Anwar Ibrahim bukan siapa-siapa. Dia hanya salah seorang pemimpin politik di kalangan ribuan pemimpin politik di negara ini. Bezanya, dia pernah dianiaya oleh seteru politiknya. Tidak ada apa-apa yang istimewa lagi tentang Anwar Ibrahim kecuali beliau pemimpin yang mempertahankan maruahnya sanggup duduk bertahun-tahun di dalam penjara demi memperjuangkan kebenaran sehingga dia sangat dikagumi oleh Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.