ULASAN: Tidak Adil Sebahagian Rakyat Dapat Hakmilik Hingga 999 Tahun, Tidak Masuk Akal

Reading Time: 6 minutes

Oleh Adzhar Ali, Editor-in-Chief

Politik di Perak hangat baru-baru ini rentetan dari Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penggulungan sidang dewan negeri tidak meluluskan pemberian hakmilik 999 tahun atau hakmilik kekal kepada penduduk kampung baru di negeri ini.

Saya jarang terpaut untuk menulis kecuali sesuatu hal itu menambat hati saya untuk turut menulis dan menyampaikan pandangan peribadi. Dalam hal tuntutan hakmilik tanah kekal ini, saya tidak dapat lagi menolak godaan untuk menulis dan menyatakan pandangan saya sebagai rakyat biasa anak jati Perak. Saya tahu tulisan saya ini akan turut dibaca oleh YAB Menteri Besar sendiri iaitu Ahmad Faizal, kerana zaman ini maklumat boleh disampaikan dengan terlalu mudah dan pantas. Saya boleh saja hantarkan pautan tulisan ini melalui aplikasi Whatsapp dan terus sampai ke telefon pintar yang sentiasa berada bersama beliau.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal dituduh tidak menepati janji manifesto Pakatan Harapan yang dibuat oleh beliau sendiri di sebuah hotel semasa tempoh kempen Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu. Musuh-musuhnya dalam parti pembangkang mula mencabar beliau membawa parti Bersatu keluar dari Pakatan Harapan kerana kononnya tidak sehaluan dengan parti sahabat iaitu DAP. Saya juga ada terbaca beberapa portal berbahasa Inggeris yang melemparkan kata-kata bahawa Ahmad Faizal mula menunjukkan ciri-ciri UMNO yang asli atau ketuanan Melayunya dalam hal ini.

Golongan yang tidak senang pula mendakwa DAP cuba menekan Menteri Besar supaya meluluskan pemberian hakmilik kekal itu. Yang peliknya, mereka lebih tahu tentang hal ini dari orang-orang dalaman parti di dalam Pakatan Harapan sendiri. Nga Kor Ming sudah memberi kenyataan tidak pernah memberi tekanan terhadap MB malah akan terus bekerjasama dengan MB dalam Pakatan Harapan.

Dalam ucapan penggulungan Sidang Dewan Negeri yang lalu, Ahmad Faizal menyatakan pemberian hakmilik kekal adalah bertentangan dengan ketetapan mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 yang menetapkan bahawa tempoh pajakan atau ‘leasehold‘ bagi kampung-kampung baru hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Apa yang saya hendak perkatakan di sini bukanlah dari sudut perlembagaan, ketetapan mesyuarat atau apa saja sebab, tetapi pendekatan kerajaan negeri dari sudut keadilan sosial dalam isu pemilikan tanah 159 kampung-kampung baru di Perak ini.

Apa Ada Pada Hak Pemilikan Kekal?
Soalan pertama yang saya ingin ajukan ialah apa ada pada hakmilik kekal atau hakmilik 999 tahun sebenarnya sehingga ia jadi isu yang begitu panas sehingga rakan berbangsa Cina saya turut menghantar mesej melalui aplikasi Messenger memberi komentar tentang isu ini seolah menyindir saya.

Pertama, pegangan hakmilik kekal bermaksud pemilik hartanah itu adalah pemilik kekal, tidak ada kekangan untuk sebarang tempoh (maksudnya, ia adalah kekal miliknya).

Pegangan hakmilik kekal tak perlu risau hartanah itu dipulangkan semula kepada pihak kerajaan. Ini bermakna, kerajaan tidak akan mengambil semula hakmilik yang telah diberikan kepada pemilik hakmilik kekal, walaupun dalam keadaan tertentu, ada juga berlaku pengambilan semula oleh kerajaan. Tetapi ia sangat jarang berlaku.

Bagi hakmilik sementara iaitu biasanya disebut ‘pajakan’ 99 tahun, tentu ramai yang ingin tahu apa akan jadi selepas tempoh 99 tahun tersebut tamat? Jawapannya, tanah tersebut walaupun sudah dibina bangunan di atasnya akan kembali menjadi hakmilik negeri.

Kebanyakan projek perumahan hari ini adalah berstatus hakmilik sementara iaitu pajakan 99 tahun. Ini bermaksud, jika anda membeli sebuah rumah dari syarikat perumahan, rumah dan tanah dimana rumah itu dibangunkan adalah berstatus hakmilik sementara. ‘Sementara’ tidaklah bermakna kerajaan akan merampas semula rumah itu apabila sudah sampai tempoh 99 tahun.

Ini tidak akan berlaku kerana kebiasaannya pemilik tanah akan diberikan peluang untuk memperbaharui atau memanjangkan tempoh pajakan tersebut dengan membayar sejumlah premium mengikut kadaran nilai tanah semasa. Kebiasaannya, pemilik tidak perlu menunggu sehingga tempoh pajakan hampir tamat untuk memohon diperbaharui tetapi boleh mula memohon sebelum tempoh pajakan tamat (sekitar kurang 30-50 tahun) kepada Pejabat Tanah.

Adakah Mereka Golongan Spesial Yang Layak Mendapat Layanan Kelas Pertama?
Soalan seterusnya yang harus ditanya ialah kenapa mereka ini memperjuangkan hak mendapat hakmilik kekal atau 999 tahun? Adakah mereka ini rakyat yang spesial, berbeza dari rakyat Perak yang lain?

Perlu dinyatakan di sini ‘kampung baru’ dalam tulisan saya ini bukan secara spesifik merujuk kepada penempatan kaum Cina sahaja, kerana kampung baru untuk kaum Cina ada tambahan huruf ‘C’ dalam kurungan, seperti Kampung Baru (C).

Kampung baru di sini merujuk secara umum dimana terdapat penempatan untuk kaum Melayu, ada penempatan untuk Cina dan juga India malah kaum Sikh. Kampung Baru di Kuala Lumpur misalnya, diwujudkan sejak awal abad ke 19 oleh British untuk menempatkan orang-orang Melayu.

Apa istimewanya mereka ini? Adakah kerana mereka ini pada asalnya dikumpul dan ditempatkan dalam sebuah settlement yang diwujudkan semasa zaman darurat bagi mengatasi ancaman komunis ketika itu dianggap terlalu spesial?

Mengikut sejarah, kampung-kampung baru diwujudkan semasa zaman darurat di mana ia merupakan satu strategi ketenteraan di bawah Rancangan Briggs (1948-1960) bagi mengatasi ancaman pengganas komunis pada ketika itu.

Apa istimewanya mereka ini? Adakah kerana mereka ini pada asalnya dikumpul dan ditempatkan dalam sebuah settlement yang diwujudkan semasa zaman darurat bagi mengatasi ancaman komunis ketika itu dianggap terlalu spesial?

Kalau fakta sejarah kependudukan dijadikan alasan untuk mereka layak dianugerahkan status hakmilik kekal, bagaimana pula dengan nasib anak-anak Perak yang lahir pasca merdeka dan membesar di rumah-rumah teres yang sempit dalam komuniti yang padat berkongsi dinding dengan jiran sebelah, tidak ada ruang tanah yang luas, hanya muat untuk meletak sebuah atau dua buah kereta sahaja? Ada rekabentuk rumah, kebiasaannya rumah kos rendah yang tidak mempunyai ruang parkir kereta, hanya muat untuk menyimpan motorsikal sahaja. Apa yang mereka ada untuk menuntut hakmilik selama 999 tahun? Kenapa mereka ini tidak layak mendapat hakmilik kekal atau hakmilik 999 tahun seperti penduduk kampung baru? Mereka ini juga bukan terdiri dari satu etnik, sebaliknya datang dari semua latarbelakang etnik.

Jika penduduk kampung baru mendapat sebidang tanah kediaman yang selesa, setiap orang warga Perak yang lahir di negeri ini juga patut diberikan hak mendapat sebidang tanah yang selesa untuk mereka mendirikan rumah sendiri, jangan biarkan mreka tinggal di komuniti perumahan teres yang sempit dan padat.

Sebenarnya penghuni rumah teres lebih harmoni berbanding tinggal di kampung baru. Mereka boleh hidup bercampur gaul dengan bangsa lain, tidak seperti di kampung baru yang hanya menempatkan satu kaum etnik tertentu.

Tidak kira apa alasan Nga Kor Ming, DAP memang membangkitkan perkara ini kerana menurutnya, ia telah termaktub dalam janji manifesto Pakatan Harapan. DAP mendakwa mereka adalah sebuah parti yang demokratik, bukan parti chauvinist, tetapi adakah anda akan melihat DAP sanggup membangkitkan perkara ini jika penduduk kampung baru yang tidak mendapat hakmilik kekal itu adalah 100 peratus dari etnik Melayu? Bagi yang tidak faham, chauvinist bermaksud seseorang atau kumpulan yang memperjuangkan hak kumpulan tertentu sahaja, manakala hak kumpulan yang lain mereka abaikan. Saya tidak bermaksud ini isyarat perkauman. Tetapi lebih menjurus ke arah kumpulan tertentu.

Bagi saya, sebagai Menteri Besar, Ahmad Faizal tidak perlu mencari-cari alasan rumit seperti ketetapan mesyuarat MTN berpuluh tahun dahulu untuk membenarkan tindakan beliau tidak meluluskan pemberian hakmilik kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung lain yang melibatkan etnik lain. Alasan perpaduan nasional sudah cukup untuk menjadikan semangat Malaysia Baharu ini dapat memadamkan terus benih-benih perkauman dan kalau boleh dihapuskan terus dari bumi Malaysia ini.

Saya pernah mewawancara Dr Aziz Bari tentang bagaimana pandangan beliau tentang sekolah berbagai aliran yang wujud di Malaysia ini, tidakkah ia menjadi elemen awal yang menyemai benih perkauman di negara ini, beliau cuma memberikan jawapan mudah bahawa tidak ada statistik menunjukkan ia mempunyai pengaruh terhadap sikap perkauman di negara ini.

Menuntut hakmilik kekal atau sehingga 999 tahun adalah tuntutan yang melampau. Ia bermakna memberi hakmilik secara percuma kepada sekurang-kurangnya 10 ke 20 generasi. Ia boleh mengganggu perancangan kerajaan di masa yang jauh ke hadapan, mungkin 500 tahun lagi kita tidak tahu apa projek pembangunan yang akan berlangsung di tapak tanah kampung baru nanti. Ini semua pasti akan menimbulkan masalah kepada kerajaan di masa hadapan. Sepatutnya tidak ada lagi tanah atau sesiapa yang layak diberikan hakmilik kekal atau 999 tahun. Tidak kira perlembagaan mana yang dijadikan rujukan, dari sudut pembangunan dan kemajuan, ini tidak lagi rasional. Dalam jangka panjang, kerajaan juga akan rugi kerana tidak memperolehi bayaran premium mengikut nilai semasa. 

Apa yang saya lihat kini, semangat Malaysia Baharu yang cuba dicanangkan hanyalah retorik semata-mata kerana selagi garis perkauman itu masih tidak dapat dipisahkan, selagi itu negara Malaysia yang tercinta ini akan terus disemai dengan benih perkauman. Sejak dari lahir, sekolah, bekerja hingga menuntut hakmilik tanah, mereka masih menunjukkan sikap menjurus kepada perjuangan kaum tertentu dan ia akan berterusan selagi tidak ada seseorang yang berani dan bertindak tegas untuk membuat keputusan secara teguh, tidak dipengaruhi oleh tekanan dari mana-mana pihak. 

Saya memandang isu ini bukanlah untuk membela atau membidas mana-mana pihak tetapi lebih kepada ingin melihat kebaikan dan keadilan ditegakkan untuk rakyat dan ia untuk kebaikan kerajaan negeri secara amnya. Saya juga mempunyai sebidang tanah, di atas tanah inilah saya membina sebuah rumah untuk didiami, tanah yang bernilai premium terletak di dalam kawasan Ipoh – dan saya tidak pernah menuntut hakmilik kekal atau 999 tahun. Kenapa pula mereka yang kebanyakannya mempunyai tanah di kampung baru yang terletak di luar bandar yang nilainya tidak setinggi di kawasan bandar mahu menuntut yang bukan-bukan?

Sebagai Menteri Besar yang mempunyai kuasa dalam hal ini, inilah masanya Ahmad Faizal sekali-sekala menggunakan kuasanya untuk memberi pelajaran kepada warga Perak bahawa tidak ada perkara yang percuma dalam hidup ini, dan tiada siapa yang spesial dan layak diberikan layanan khas dalam masa yang sama golongan lain diabaikan. Tidak salah menjelaskan kepada rakyat bahawa tidak semua janji manifesto dapat ditunaikan. Sepertimana Tun Mahathir berkata manifesto bukan kitab.

Tuntutan hakmilik 999 tahun di era pasca merdeka ini adalah sesuatu yang melampau dan bukan lagi suatu keperluan. Mereka mahu membina generasi yang mewarisi harta secara percuma, manakala golongan lain berhempas pulas mencari rezeki. Ini tidak adil. Kampung baru asalnya diwujudkan untuk menangani komunis, kini sudah 2018 zaman itu sudah lama berlalu, tiada lagi komunis. Sudah tiba masa kampung baru dibubarkan. Mereka patut keluar dari kelompok kaum dan bergaul dengan masyarakat berbilang bangsa. 

Kepada mereka yang cuba hendak menjadi ‘hero’ rakyat memperjuangkan isu ini, jadilah hero kepada seluruh rakyat Perak, bukan hero kepada kelompok tertentu sahaja.