Timbalan Pengarah Asia pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch, Phil Robertson dalam satu kenyataan pada Jumaat (1 Mei) mengecam cara kerajaan Malaysia mengendalikan pendatang asing dan pekerja imigran sejak beberapa hari lalu dalam usaha untuk mengekang penularan wabak koronavirus.
Phil berkata kerajaan Malaysia akan mengulangi apa yang terjadi di Singapura apabila menempatkan kesemua mereka dalam satu tempat yang boleh menyebabkan penularan besar-besaran wabak itu.
“PM Muhyiddin dan Kementerian Dalam Negerinya nampaknya komited untuk mempromosi ketakutan dan xenofobia yang memindahkan kemarahan masyarakat Malaysia terhadap pendatang asing yang tidak dapat mempertahankan diri mereka.
“Ini tidak menghairankan, memandangkan Muhyiddin ingin mengelakkan diri daripada mengambil tanggungjawab terhadap penyebaran pantas Covid-19 ke seluruh Malaysia yang berlaku ketika dia terlalu sibuk bermain politik pada bulan Mac untuk melihat krisis yang timbul tepat di bawah hidungnya. Apa yang sama bodohnya ialah tindakan ini memberi isyarat kepada semua pekerja migran yang masih ada di Malaysia untuk tidak bekerjasama dengan PKP atau langkah-langkah kuarantin lain kerana mereka akan berserah diri untuk ditangkap jika mereka melakukannya, “kata Phil.
Beliau menzahirkan kebimbangan bahawa KKM pasti tidak senang dengan cabaran terbaru ini dan imigran ini mungkin melalui pengalaman berbulan-bulan, dan mungkin bertahun-tahun, dalam keadaan mengerikan dalam penahanan imigresen.
Katanya lagi, serangan hak asasi kemanusiaan dan komen-komen kebencian ke atas imigran Rohingya oleh warga internet dan sikap Muhyiddin ‘menutup mata’ terhadap kempen kebencian terhadap Rohingya yang mengejutkan dunia mengingatkan kembali kebencian di media sosial yang dihadapi oleh Rohingya ketika mereka dibersihkan secara etnik dari negara mereka Burma.
“Malaysia yang sebelumnya meningkat reputasi di pentas antarabangsa telah dijatuhkan oleh tindakan kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan kegagalan untuk menghormati hak asasi manusia imigran dan pelarian,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru kerajaan membebaskan lebih 700 pelarian yang ditangkap, memberi mereka ujian dan sokongan jika didapati positif dan menghentikan tindakan mengumpulkan imigran dan pelarian dalam keadaan yang sesak.
Minggu lepas, Human Rights Watch mengingatkan Malaysia supaya berhenti memenjarakan pesalah Perintah Kawalan Pergerakan yang meletakkan semua tahanan, kakitangan penjara dan masyarakat berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. Kerajaan sepatutnya menggunakan fasiliti yang baru diwujudkan untuk mengurangkan memenuhkan penjara sedia ada.
Untuk rekod, Malaysia telah menahan lebih 16 ribu orang yang melanggar PKP yang diperkenalkan sejak 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan wabak koronavirus. Pada mulanya pihak berkuasa menghantar pesalah PKP ke penjara, tetapi kemudian beralih ke denda setelah ketua pengarah Jabatan Penjara menimbulkan kekhuatiran bahawa kesesakan penjara telah membuat jarak sosial “mustahil.”