Sejak kebelakangan ini, sudah banyak kedengaran wakil rakyat yang melompat parti menyertai parti yang memerintah. Ada yang bertindak keluar dari parti asal mereka dan menjadi wakil rakyat tidak berparti (Bebas). Tindakan lompat parti ini dalam istilah lain boleh dikatakan sebagai berpaling tadah.
Tindakan sebegini adalah tindakan seorang pengecut. Tidak kira dia mahu menyertai parti yang mana sekalipun dan apapun alasan yang diberikan, tindakan berpaling tadah ini sudah pasti tindakan mementingkan diri dan untuk menjamin survival politik masing-masing. Mereka ini akan menyertai parti yang sedang memerintah kerana boleh mendapat kelebihan dan habuan serta selamat dari tindakan pihak berkuasa (jika pernah terlibat dalam perlakuan rasuah atau salahguna kuasa).
Kini sudah sampai masanya perlembagaan digubal supaya wakil rakyat yang mahu lompat parti perlu meletakkan jawatan dahulu dan mengosongkan kerusi untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan.
Kaedah mengadakan pilihanraya semula lebih gentleman dan tiada siapa boleh pertikaikan. Kalau seseorang wakil rakyat itu memang disukai rakyat kawasannya, sama ada dia bertanding atas logo apa sekalipun, dia tetap akan dipilih semula. Ini lebih adil dan tidak semestinya sesebuah parti itu memepengaruhi keputusan pengundi.
Cara ini juga lebih terhormat dan tidak belot terhadap rakyat yang mengundi mereka. Bayangkan semasa pilihanraya, rakyat telah memilih seseorang wakil rakyat yang mewakili parti tertentu, selepas pilihanraya wakil rakyat tersebut lompat ke parti lain. Tindakan ini sudah tentu dianggap sebagai belot terhadap kehendak rakyat.
Mereka ini tidak akan berani mengosongkan kerusi untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan kerana tiada siapa berani jamin mereka akan mendapat semula kerusi yang dikosongkan.
Jika peraturan ini dibuat, tiada wakil rakyat yang akan lompat parti kecuali mereka benar-benar sudah tidak yakin dengan parti sendiri, barulah wakil rakyat berkenaan sanggup mengosongkan kerusi untuk diadakan pilihanraya kecil di kawasannya.
Ini lebih demokratik dan telus. Siapa sahaja patut bersetuju dengan cadangan ini.
Ini adalah cara anak jantan, jika benar sudah hilang kepercayaan terhadap parti sendiri, letak jawatan sebagai wakil rakyat, kosongkan kerusi, keluar parti dan sertai parti baru, kemudian bertanding semula di atas tiket parti yang baru disertai.
Mereka ini sebenarnya mempunyai peluang untuk melakukannya sebelum pilihanraya umum berlangsung, kenapa bertindak selepas pilihanraya selesai? Walaupun tindakan mereka ini adalah mengikut perlembagaan, kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang memaksa mereka meletakkan jawatan, mengosongkan kerusi adalah lebih demokratik berbanding lompat parti tetapi masih memegang jawatan kerana mereka mendapat mandat dari rakyat semasa pilihanraya. Mereka patut sedar diri bahawa rakyat memilih mereka atas tiket parti lama mereka. Pilihanraya semula akan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih sekali lagi. Walau apa alasan diberi, sama ada hilang keyakinan terhadap parti sendiri (biasanya inilah alasan yang paling popular), tindakan dan muslihat mereka boleh dipersoalkan.
Oleh itu, sudah sampai masanya rakyat menolak pemimpin sebegini di masa akan datang. Walaupun mereka lompat parti dan menyertai parti yang memerintah, pemimpin sebegini patut ditolak dan dijauhkan. Mereka patut berasa malu kepada rakyat yang memilih mereka.
Di mana letak maruah dan harga diri pemimpin sebegini?
Pada pilihanraya akan datang, mari kita menolak pemimpin yang tidak ada prinsip ini walaupun mereka mewakili parti kita sendiri.