Warisan Nafi Penglibatan Dalam Insiden Lapangan Terbang KK

Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU (Bernama) | Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan sebarang penglibatan dalam insiden yang melibatkan ahli exco Pemuda UMNO Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.

Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua berkata parti itu tidak mengetahui kejadian itu sehingga ia menjadi tular.

Beliau berkata Warisan tidak akan menyokong pertembungan sebegitu kerana ia bukan budaya yang diterima di sini.

“Walaupun Papagomo sebelum ini menunjukkan tingkah laku sedemikian yang menyebabkan ketidakpuasan hati dari banyak pihak, ini tidak bermakna kita harus menuruti sikap serendah dia.

“Warisan tidak akan berkompromi dalam hal pergelutan kekasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, portal berita melaporkan bahawa Muhammad Azri telah dikepung sekumpulan orang di lapangan terbang ketika dia hendak menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, kumpulan itu telah berhadapan dengan Muhammad Azri selepas dia didakwa merampas gambar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Kimanis.