3.8 Juta Terima BSH Bermula Hari Ini

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA (Bernama) – Pembayaran fasa pertama RM300 di bawah Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 akan dikreditkan ke akaun bank penerima berdaftar antara hari ini dan Rabu (22 Jan), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bayaran itu akan memberi manfaat kepada hampir 3.8 juta penerima dan melibatkan sejumlah lebih daripada RM1 bilion, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk memastikan BSH 2020 diterima oleh semua yang layak, program ini akan dibuka untuk pendaftaran dan pengemaskinian butir-butir antara 1 Feb dan 15 Mac, katanya.

Beliau berkata penerima pembayaran fasa pertama tidak perlu membuat apa-apa permohonan melainkan terdapat perubahan dalam butir-butir yang perlu dikemaskini.

“Proses permohonan dan pengemaskinian ini difokuskan kepada mereka yang layak berdasarkan syarat BSH 2020 tetapi tidak diluluskan untuk BSH 2019. Ia termasuk kategori baru BSH 2020, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2020 untuk orang tunggal berumur 40 tahun ke atas,” katanya. kata.

Sebarang pertanyaan boleh diarahkan ke talian bebas tol 1800-88-2747 atau e-mel bsh@treasury.gov.my.