Sejak Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan negeri Perak, tidak sampai sebulan sudah muncul golongan pelobi projek yang tidak pernah kenal penat turun naik pejabat Kerajaan Negeri demi mencari projek atau kontrak kerajaan.
Golongan bermuka tebal setebal tembok ini tidak malu-malu untuk mengaku mereka adalah ahli keluarga atau saudara-mara kepada Menteri Besar Ahmad Faizal, dan ada yang mengaku mereka sangat rapat dengan Menteri Besar, atau mengenali sejak di bangku sekolah lagi. Selain MB, anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri juga turut menerima tempias orang-orang yang mengaku mereka mempunyai hubungan yang ‘akrab’ ini.
Perkara ini jelas tanpa berselindung lagi diakui oleh Ahmad Faizal sendiri semasa sidang medianya pada 6 Jun 2018 di pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.
Golongan pelobi projek dan kontrak ini muncul entah dari mana dan golongan ini sentiasa menunggu peluang untuk menerkam apa saja peluang yang hadir di depan mata. Ada di antara mereka ini adalah muka-muka yang sangat kita biasa lihat turun naik pejabat Kerajaan Negeri sejak 5 atau 10 tahun yang lalu. Pendek kata, pejabat Menteri Besar adalah hidup dan mati mereka. Ia sudah menjadi tempat mereka berpaut sejak zaman berzaman. Tanpa Kerajaan Negeri, siapalah mereka. Tanpa Kerajaan Negeri juga, mereka ini hilang kehormatan. Rakan-rakan yang biasa mengelilingi mereka juga akan lari menjauhkan diri. Mereka hanya mendekati bila merasa ada kepentingan tertentu. Begitulah budaya yang diamalkan sejak bertahun-tahun lamanya.
Tiba Pilihanraya 2018, golongan bermuka tebal ini tiba-tiba tersentak, berharap mereka masih bermimpi, walhal itulah realiti yang tidak dapat ditolak lagi. Golongan muka tembok ini sebenarnya masih tidak mahu menerima kenyataan. Mana tidaknya, selama 61 tahun negara diperintah Barisan Nasional, siapa sangka kali ini rakyat sudah tidak mahukan mereka lagi.
Selama bertahun-tahun mereka menikmati kesenangan dan kemewahan hidup hasil dari peluk cium tidur sebantal dengan kerajaan terdahulu tiba-tiba dahan tempat mereka berpaut mencari projek tidak lagi dapat menjanjikan apa-apa.
Maka tidak hairanlah apa yang kita lihat dari sehari ke sehari, apabila pergi bertandang ke pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak, kita akan lihat wajah hodoh yang sama, yang sama hodohnya kita pernah lihat dahulu, tapi kali ini lebih hodoh dari dahulu.
Mereka yang selama ini menghentam pembangkang ketika itu, tanpa rasa belas kasihan dan seolah-olah mereka terlalu kebal dan tiada siapa mampu melawan kehendak dan kemaraan mereka, tiba-tiba berubah wajah menjadi penyokong setia dan penjilat paling tegar. Mereka jadi lebih penyayang daripada rakyat marhaen yang mengundi menghumban kerajaan lama. Mereka menjadi kipas paling besar dari rakyat jelata yang benci dan bertindak membuang bos-bos mereka dahulu.
Kerajaan yang mereka sokong akhirnya tumbang seperti mana tumbangnya empayar Rom yang telah gagal melaksanakan undang-undang yang adil, amalan rasuah berleluasa, pembaziran di mana-², perhambaan, memecah-belahkan antara rakyat jelata dan akhirnya datang satu golongan yang menjanjikan sesuatu yang lebih baik maka tumbanglah empayar hebat yang megah di Eropah suatu waktu dahulu.
Kita tidak mahu perkara sebegini berulang lagi. Kerajaan yang ada hari ini harus mengambil iktibar dari kisah-kisah klasik yang benar bukan dongengan ini. Sokongan palsu serta pujian melampau semata-mata untuk melobi projek dan kontrak kerajaan akhirnya akan membawa sesebuah kerajaan itu, dalam masa tidak terlalu lama akan tumbang dengan sendirinya dan ketika itu kekesalan sudah tidak membawa sebarang makna lagi.