Jangan Salahguna Pertalian Saudara Dan Sahabat Alasan Untuk Dapat Projek

Reading Time: < 1 minute

Semenjak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri, didapati terdapat beberapa individu dan pihak dan individu yang cuba menyalahguna pertalian saudara dan sahabat sebagai alasan untuk mendapatkan projek. Perkara ini disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam sidang media hari ini di pejabat kerajaan Perak. Mereka ini cuba memeras pegawai-pegawai kerajaan untuk meluluskan projek.

“Hubungan saudara dan sahabat tidak diambil kira sebagai satu ‘kelebihan’ untuk mendapatkan kontrak dan sebagainya… ini merupakan hal yang amat-amat saya hindari dan mahu perangi sepenuhnya. Ia perkara yang amat tidak baik”, kata Ahmad Faizal.

Menurutnya lagi, kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan tugas dan semua kontrak dengan telus, bukan kerana rapat dengan Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau memberi pesanan itu kepada pengamal media agar dapat menyampaikan perkara ini kepada umum supaya orang ramai sedar bahawa kerajaan Pakatan Harapan bukan seperti kerajaan terdahulu.