Menteri Besar Perak sekali lagi mengarahkan PKNP untuk menolak usul sebuah lagi GLC, Perak Corporation Berhad (PCB) untuk membayar fi pengarah.
Seperti tidak mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada Maju Perak Holdings Berhad baru-² ini, satu lagi GLC, Perak Corp juga cuba mengusulkan cadangan untuk membayar fi Pengarah bagi tahun kewangan berakhir Disember 2017.
Usul itu dikemukakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada 27 Jun 2018.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata PCB, pada 27 Jun lalu telah mencadangkan usul-usul untuk meluluskan pembayaran Fi Pengarah berjumlah RM441,650 dan imbuhan Pengarah berjumlah RM150,000 untuk tahun kewangan berakhir Disember 2017.
“Sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), yang memiliki saham majoriti di dalam kumpulan PCB, saya telah mengarahkan PKNP untuk menolak semua usul di atas.
“Kumpulan PCB telah mencatatkan kerugian berjumlah RM340.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dan sehingga tarikh tersebut, liabiliti kumpulan itu telah melebihi asetnya pada kadar RM158.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Menurut beliau, berikutan susulan prestasi yang mendukacitakan bagi tahun kewangan tahun lalu, adalah tidak wajar para pengarah PCB dibayar dengan imbuhan yang besar.
“PKNP selaku pemegang saham terbesar telah menolak usul-usul tersebut, atas kepentingan negeri Perak dan rakyatnya,” kata Ahmad Faizal.
Dua Pengarah Perak Corp Berhad (PCB) Datuk Dr S. Vasan dan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin telah menolak cadangan lantikan semula mereka ke jawatan tersebut pada persidangan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung semalam. Seorang lagi Pengarah PCB, Ab Rahman Mohammed pula telah meletakkan jawatannya.
PCB melalui anak syarikat PCB Development Sdn Bhd memiliki 51% kepentingan terhadap taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS), pemilik PCB Taipan Sdn. Bhd., Casuarina Meru Sdn. Bhd., Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd., Labu Sayong Cafe Sdn. Bhd. dan banyak lagi syarikat lain.