GERIK: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menasihati para peneroka termasuk generasi baharu supaya mempertahankan tanah Felda dalam meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.
Beliau juga meminta mereka tidak menjual geran tanah hak milik yang diperolehi hasil kurnia kerajaan negeri. Menurut Ahmad Faizal, peneroka perlu menyedari tindakan menjual atau menukar hak milik tanah boleh merugikan masa depan mereka dan anak cucu-cicit mereka.
“Peneroka Felda wajib mempertahankan tanah kurnia kerajaan negeri itu kerana mereka perlu menyedari pahit getir kesusahan yang dialami semasa mula-mula menjadi peneroka pada tahun 1989.
“Golongan peneroka bukan orang senang dan yang menjadi peneroka dulu bekerja keras untuk meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.
“Alhamdulillah bila dah dapat geran tanah kena jaga, jangan jual dan tukar hak milik sebab ianya merupakan sesuatu yang perlu dipertahankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penyerahan hak milik tanah peneroka Felda Nenering di Dewan Semai Bakti, Gerik pada Isnin.
Majlis itu menyaksikan seramai 140 peneroka menerima geran hak milik masing-masing dengan setiap seorang menerima hak milik 3.9 hektar melibatkan tanah kediaman dan ladang. Keseluruhannya, Felda Nenering mempunyai keluasan 608.70 hektar.
Terdahulu Pengarah Pengurusan Felda, Erwan Aman dalam ucapannya berkata, Felda mempunyai 17 tanah rancangan di Perak dengan jumlah keseluruhan keluasan kawasan seluas 28,562 hektar membabitkan 5,917 orang peneroka.
Katanya, daripada jumlah peneroka itu, seramai 97.55 peratus atau 5,772 peneroka di Perak telah menerima geran hak milik, sekaligus menjadikan Perak sebagai negeri ketiga hampir memberi hak milik tanah 100 peratus kepada kesemua peneroka Felda.