IPOH: Trend aliran pemakanan dalam kalangan masyarakat moden hari ini sudah jauh berubah berbanding masyarakat dulu dimana mereka tidak berkira untuk berbelanja lebih kerana yang lebih penting dapat menikmati makanan kesukaan yang berkhasiat dan sihat.
Baik lelaki mahupun wanita, mereka lebih mengutamakan gaya hidup sihat dengan menikmati sajian makanan dalam suasana privasi dan tenang bersama ahli keluarga, rakan taulan dan rakan sepejabat.
Justeru tumpuan mereka hanya kepada sajian makanan asas iaitu makan pagi, tengah hari dan malam sama ada di restoran mahupun pusat makanan yang banyak terdapat di sekitar bandar.
Bagi warga Ipoh pula, mereka yang masih tercari-cari untuk menikmati hidangan dan sajian makanan istimewa, sihat dan halal sesuai dengan selera semua kaum bakal berpeluang menikmatinya apabila ADDON White Coffee Food and Beverage Sdn. Bhd iaitu pusat makanan berkonsep halal memulakan operasi perniagaannya pada 1 November dan akan dibuka secara rasminya pada 15 Disember ini.
Restoran makanan tersebut yang beroperasi di No 64, Jalan Raja Ekram, Ipoh, akan menyediakan sajian makanan `mi tarik’ 100 peratus halal yang berasal dari Lanzhou, China untuk hidangan para pelanggannya nanti.
Pengarah Eksekutif ADDON White Franchise Co. Ltd, Encik Sahul Hamid Rowther Mohd Bawa, menjelaskan pembuat mi tarik dibawa khusus dari Lanzhou, China yang majoriti penduduk asalnya beragama Islam yang terkenal dengan pembuatan warisan mi tarik.
“Mi tarik yang kami sediakan ini mempunyai pelbagai rasa termasuk mi tarik herba campur daging, mi tarik sayur bayam dan pelbagai mi tarik lagi yang dibuat khusus untuk para pengunjung nanti.
“Selain mi tarik, kami juga ada menyediakan sajian makanan tempatan untuk pilihan pelanggan kami di dalam menu makanan,” katanya kepada Independent.my pada Sabtu.
Menurut beliau, pihaknya mempunyai 20 orang pekerja tempatan termasuk 10 orang pekerja yang sentiasa ditugaskan menjaga kebersihan dalaman premis.
Katanya, waktu operasi syarikat tujuh hari bermula 7 pagi hingga 11 malam. Rakan niaganya, Encik Liew Sing Leong yang juga Pengarah Urusan ADDON White Coffee Franchise Co.Ltd pula optimis makanan berkonsepkan 100 peratus halal yang diperkenalkan syarikat ini mampu menjadi tarikan para pengunjung bukan sahaja warga Ipoh malah pelancong dalam dan luar negara.
Beliau yang berpengalaman luas dalam perniagaan White Coffee dan sering berulang-alik ke Lanzhou, China dalam urusan perniagaan melihat mi tarik iaitu mi warisan dan budaya pembuatan masyarakat Islam di China paling sesuai dikembangkan untuk sajian makanan menarik semua kaum di Malaysia.
“Begitu juga pada mula asalnya kopi yang amat terkenal di Malaysia kini sudahpun mendapat tempat di hati penggemarnya bukan sahaja dalam negara malah di luar negara,” katanya.
Sementara itu menurut Pengurus Pegawai Perhubungan ADDON Food Beverage Sdn. Bhd, Nur Fazleena Sahul Hamid, pihak syarikat akan francaiskan mi tarik berkonsep halal ini selepas enam bulan operasinya berjalan di Ipoh.
“Setakat ini kami telah mengenalpasti lima lokasi perniagaan utama di sekitar bandaraya Ipoh termasuk di Meru dan kawasan tumpuan awam.
“Selain itu kami juga menyediakan jualan makanan terus (take away) dan pandu lalu di pusat makanan ini selain membuat penghantaran terus ke rumah-rumah bagi pelanggan yang membuat pesanan.” katanya.
Nur Faleena berkata, setakat ini ADDON Food menyediakan sajian makanan untuk 170 orang para tetamu dalam satu masa di bahagian bawah dan atas bangunan dalam suasana santai, tenang dan privasi.