IPOH: Baru sebulan setengah memulakan operasi, Restoran ADDON White Coffee telah mengadakan majlis pembukaan rasminya pagi tadi yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, YB Prof. Abdul Aziz Bari.
Terletak di Jalan Raja Ekram Ipoh, Restoran ADDON White Coffee telah menerima kunjungan pelanggan dari pelbagai bangsa termasuk dari negara-negara Asia.
Restoran berkonsepkan 100 peratus halal ini yang diwujudkan hasil kerjasama gandingan dua rakan niaga, Pengarah Eksekutif ADDON, Sahul Hamid Rowther Mohd Bawa dan Pengarah Urusannya, Liew Sing Leong dilihat menepati konsep kerajaan Malaysia Baharu.
Prof. Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, pendekatan baharu yang diperkenalkan restoran ini dengan menghidangkan sajian istimewanya adunan mi tarik halal buatan tangan dibawa khas dari Lanzhou, China membuktikan Bandaraya Ipoh mampu menjadi hub makanan halal untuk dinikmati warga tempatan mahupun pengunjung luar negara.
Beliau optimis, rancangan bersepadu pihak pengurusan restoran ini untuk membuka 18 rangkaian cawangan makanan halal di seluruh negara dalam masa terdekat ini sebagai menepati masanya.
“Rancangan kemas dan tersusun yang diambil pihak pengurusan restoran ADDON ini bukan sahaja dapat membantu kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Ipoh terutamanya, malah memacu ekonomi negeri Perak selepas kita menubuhkan kerajaan baru,” katanya.
“Negeri Perak mensasarkan industri pelancongan sebagai suatu sektor yang penting dan saya yakin ADDON White Coffee akan menjadi salah satu venue untuk pelancong-pelancong datang. Kita nak galakkan bukan saja pelancongan domestik, tetapi pelancong luar negara terutama dari negara-negara ASEAN seperti Singapura.
“Saya sangat sukacita melihat kehadiran begitu ramai pada hari ini dan saya lihat konsep restoran ini sangat menarik bahkan ada hidangan mi tarik dari China,” katanya.
Beliau memberi keyakinan bahawa kerajaan negeri akan memberikan kerjasama yang baik dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur seperti tempat parkir kereta yang mencukupi agar dapat membantu perniagaan berjalan lancar.
Sementara itu Sahul Hamid ketika ditemui selepas majlis itu menzahirkan rasa sukacitanya kerana restorannya hari ini menerima ramai kunjungan pelawat termasuk pelawat asing dari Jepun, Korea, Singapura dan Filipina.
Beliau optimis penerapan konsep 100 peratus halal dalam sajian makanan yang diperkenalkan oleh restoran ADDON mampu meletakkan kedudukannya ke hadapan selain menjadikan Perak sebagai salah satu hub makanan halal diAsia.
“Konsep 100 peratus makanan halal yang kita perkenalkan dalam pengurusan restoran ini mendapat sambutan yang amat membanggakan daripada pengunjung semua kaum.
“Malah lebih membanggakan lagi sudah sebulan setengah kami beroperasi, 85 peratus daripada pengunjung kami adalah pengunjung berbangsa Melayu selain pengunjung berbilang kaum,” katanya.
Pada majlis itu, para pelanggan selain menikmati hidangan sajian makanan istimewa mi tarik halal, mereka juga berpeluang melihat bagaimana mi tarik dihasilkan menggunakan tangan oleh seorang pakar pembuat mi tarik yang dibawa khas dari Lanzhou, China iaitu sebuah wilayah terkenal dengan penduduknya yang beragama Islam.