Hanya Orang Berfikiran Sempit Letak Wajah Sendiri Di Beg Sekolah

Reading Time: < 1 minute

Setelah hampir 9 bulan Pakatan Harapan memerintah, nampaknya budaya mengangkat dan membesarkan diri masih menebal di kalangan wakil rakyat. Tindakan meletakkan gambar muka pemimpin pada beg sekolah yang diberi kepada murid-murid adalah tindakan yang cukup menghina golongan penerima beg sekolah tersebut.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku lagi di waktu PH menjadi kerajaan. Budaya mengagungkan pemimpin seolah pemimpin itulah yang menjadi satu-satunya pihak yang boleh memberi sumbangan kepada rakyat sudah tidak relevan lagi pada masa kini.

Sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, sudah menjadi tanggungjawab untuk mengambil tahu dan membantu rakyat dari segi keperluan mereka. Bukanlah kerana individu tersebut menjadi wakil rakyat, ia telah mendatangkan ‘seribu rahmat’ kepada penduduk di kawasannya. 

Pemikiran sebegini sepatutnya dibuang jauh-jauh dari benak fikiran masyarakat hari ini. Memberi sumbangan beg sekolah mengguna wang rakyat bukan bermaksud ia sumbangan peribadi. Ini satu tindakan yang sangat bodoh dan keterlaluan akhirnya orang ramai semakin meluat melihat gelagat pemimpin sedemikian. 

Ada ibubapa yang tidak menyokong parti memerintah sudah tentu akan meluat melihat wajah pemimpin parti musuh pada beg sekolah anaknya. 

Sebelum membuat sesuatu, lebih baik berfikir secara waras dan berpandangan jauh ke hadapan, bukan berfikir secara sempit di dalam lingkungan sekelompok pembodek dan pengampu yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada rakyat jelata.