IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya menjaga batas-batas agar sebarang keputusan yang diambil tidak dipengaruhi oleh hubungan persahabatan dengan pentadbiran terdahulu.
Beliau berkata, menggadaikan sumpah janji serta taat setia kepada kerajaan semasa dengan tidak melaksanakan arahan mahupun keputusan disebabkan oleh konflik sentimen adalah sama sekali tidak wajar dilakukan.
Menurut beliau, tindakan seumpama itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Kita dapati ada sebilangan kecil penjawat awam yang masih terperangkap dengan sentimen terhadap ‘bos-bos’ lama daripada pentadbiran terdahulu.
“Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada ikatan persahabatan yang dibina antara penjawat awam dan pentadbiran terdahulu namun jagalah batas-batas itu supaya keputusan dan tindakan yang diambil tidak dipengaruhi oleh hubungan tersebut,’’ katanya.
Ahmad Faizal memberikan peringatkan ini semasa berucap pada Majlis Townhall Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Perak yang dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Jubilee Kelab Golf Diraja, Ipoh pada Ahad.