Paul Yong Dinasihatkan Bercuti Dari Tugas Rasmi

Reading Time: < 1 minute

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang juga ADUN Tronoh yang terkait tuduhan rogol, Paul Yong Choo Kiong dinasihatkan bercuti daripada menjalankan tugas-tugas rasmi, termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan, sehingga proses perbicaraan selesai.

Demikian menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu melalui kenyataan yang diedarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perak sebentar tadi.

Ahmad Faizal bagaimanapun berkata prestasi YB Paul Yong sebagai ADUN Tronoh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak adalah memuaskan dan beliau telah memberi kerjasama yang baik kepada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab beliau.

Ahmad Faizal dalam kenyataan itu juga menyatakan rasa terkejut atas apa yang berlaku dan meminta keluarga YB Paul Yong khususnya isteri dan anak-anak beliau bersabar dalam melalui proses perundangan ke atas beliau.

Ahmad Faizal seterusnya meletakkan harapan agar keadilan akan ditegakkan kepada semua pihak yang terlibat di dalam kes yang sedang berjalan itu.

Orang ramai juga turut diseru menghormati proses undang-undang dan tidak mendahului hakim dengan menjatuhkan hukuman melalui media sosial.

“Sewajarnya kita menaruh sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman negara dalam mengegakkan keadilan dan kebenaran,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberi jaminan bahawa proses perundangan ke atas Paul Yong tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dan tiada keperluan untuk membuat sebarang rombakan barisan EXCO.