SIDANG DUN | Barisan Exco Kerajaan Negeri dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Perak menzahirkan sokongan mantap terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu untuk terus menerajui kepimpinan negeri.
Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Asmuni Awi yang mengetuai barisan itu berkata, pentadbiran Kerajaan Perak masih mantap dan tidak wujud sebarang masalah seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sehubungan itu beliau meminta semua pihak khususnya rakyat Perak menolak tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab dengan terus memberi kepercayaan kepada Exco dan Adun PH dalam melaksanakan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak khabar angin dan fitnah yang dilemparkan kepada pihak Kerajaan Perak dan cubaan untuk mengganggu-gugat kestabilan pentadbiran Kerajaan di bawah PH.
“Meskipun telah diperjelas beberapa kali sebelum ini, namun usaha-usaha untuk mencipta dan merekayasa persepsi jahat kepada keutuhan kerajaan masih terus berlaku.
“Kebersamaan kami pada hari ini adalah bagi menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu sebagai Menteri Besar Perak,’’ katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Antara Exco yang hadir, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Dr Abdul Aziz Bari, Tan Kar Hing dan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menjelaskan sidang media itu dibuat susulan penularan fitnah yang mendakwa pentadbiran kerajaan negeri tidak stabil serta fitnah melibatkan isu-isu kepimpinan PH negeri.