Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang memohon menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah kerana kononnya terpaksa menghadiri mesyuarat dengan perdana menteri Muhyiddin Yassin disanggah oleh pejabat perdana menteri.
Kenyataan dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri menyatakan tidak ada mesyuarat seperti yang didakwa oleh Zahid sebaliknya Muhyiddin hanya menemui ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan untuk menyelaras perjalanan pentadbiran kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan bahawa tiada mesyuarat pemimpin politik yang dijadualkan hari ini,” kata kenyataan itu.
Zahid sedang menghadapi 87 tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menerima rasuah berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi dan beberapa projek semasa dia menjadi menteri dalam negeri.