Picture by Yusof Mat Isa
KUALA LUMPUR | Kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk ekonomi kembali pulih selepas krisis Covid-19 berakhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata anggaran tempoh itu adalah munasabah dengan sokongan strategi yang betul.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas muncul sebagai tetamu di program Ruang Bicara di Bernama TV malam tadi.
Beliau menambah bahawa pelbagai sektor termasuk sektor pelancongan, hospitaliti, runcit dan pelaburan negara telah terjejas teruk oleh wabak Covid-19.
“Sektor pelancongan, sebagai contoh, pengunjung tidak akan masuk ke Malaysia dengan serta-merta, jadi kita perlu meningkatkan aktiviti promosi,” katanya.
Beliau berkata beberapa negara yang terjejas Covid-19 menjangkakan mereka akan mengambil masa antara sembilan bulan hingga setahun paling awal untuk membina semula ekonomi masing-masing.