PUTRAJAYA | Tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya kerajaan sentiasa bersikap adil kepada semua dan tindakan undang-undang yang diambil adalah mengikut tuduhan yang dikenakan.
“Tiada siapa yang mengatasi undang-undang negara kita. Kerajaan bersikap adil kepada semua, sesiapa yang langgar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kira sebarang kedudukan.
“Yang ditangkap dan dipenjarakan adalah kerana menghalang tugas penjawat awam seperti bergaduh dan berlawan dengan polis “
“Contohnya Exco Perak dan Timbalan Menteri Kesihatan, mereka didenda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah peraturan PKP, ” katanya dalam sidang media harian berkaitan PKP di sini hari ini.
Tambahnya, kedua-dua ahli politik itu dikenakan denda kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial semasa menjalankan tugas dan memberi bantuan kepada rakyat manakala mereka yang dikenakan hukuman penjara bukan semata-mata kerana kesalahan melanggar PKP, namun turut melakukan kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan.
“Bukan kerana dua darjat … kerana kesalahan dari segi penjarakan sosial. Namun, tindakan mereka di bawah Akta 342 sahaja yang hukumannya denda maksimum RM1,000.
“Yang ditangkap dan dipenjarakan adalah kerana menghalang tugas penjawat awam seperti bergaduh dan berlawan dengan polis, jadi bermakna yang dipenjara adalah kerana kesalahan lain yang melibatkan Kanun Keseksaan,” katanya.