Amaran Datuk A. Kadir Jasin tentang kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari dalam dan akan ditolak rakyat dalam pilihanraya akan datang ada benarnya malah ia sedang bermula ketika ini, termasuk di Perak.
Dalam posting di blognya, beliau membayangkan beberapa perkara yang boleh membawa kepada sabotaj terhadap PH iaitu dari pemimpin PH sendiri, oleh kakitangan awam dan eksekutif syarikat berkaitan kerajaan.
Sabotaj dari pemimpin PH adalah kerana kejahilan, tamak kuasa dan tidak fokus terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Perkara terakhir ini juga turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah semasa berucap di majlis Konvokesyen ke-58 Universiti Malaya, di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Baginda bertitah mengingatkan bahawa negara ini dan rakyat adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, justeru harus dijaga dengan pemerintahan yang benar dan adil.
“Penyakit gila kuasa menjadi bertambah kronik apabila pemimpin dikelilingi oleh barisan penasihat yang jahil,” titah baginda.
Kita sedang melihat dengan mata kepala kita sendiri betapa beberapa pemimpin yang tamak dan gila kuasa, memegang beberapa jawatan dalam kerajaan – tidak perlu disebutkan di sini.
Yang jahil juga tidak kurangnya kerana saya menerima banyak rungutan dari penyokong-penyokong setia PH yang bertungkus-lumus bekerja siang malam untuk memastikan kemenangan tetapi akhirnya mereka ini dilupakan begitu sahaja. Ada yang sudah tidak mahu menjawab panggilan telefon, dan ada juga perlu membuat temujanji sebelum berjumpa. Mungkin mereka ini terlalu sibuk, tetapi sibuk setara mana takkanlah sampai tidak boleh luangkan sedikit masa untuk bertemu rakyat marhaen lebih-lebih lagi mereka adalah penyokong kuat yang bekerja keras berkempen untuk memastikan kemenangan semasa pilihanraya yang lalu.
Satu lagi jenis jahil ialah menerima dan berbaik dengan mereka yang pernah menjadi musuh atau lebih teruk lagi orang itu bertanding dalam pilihanraya menentang PH. Yang peliknya orang-orang ini ditatang dan diberikan jawatan malah bebas membawa rakan-rakan rapat mereka anggota parti UMNO masuk ke pejabat.
Jenis sabotaj yang terakhir menurut A. Kadir Jasin ialah tidak fokus. Mereka ini tidak tahu apa tugas sebenar mereka. Yang lebih penting patut diutamakan dahulu, yang kurang penting boleh ditangguhkan dahulu. Baru 5 bulan menjadi kerajaan, ada yang tidak sabar untuk mendapat gelaran Datuk. Gelaran tidak penting, ia tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat. Rakyat memilih pemimpin bukan mahu melihat pemimpin diberi pingat atau gelaran Datuk atau Datuk Seri. Mengapa tergesa-gesa untuk menerima tawaran. Ini boleh membuatkan rakyat muak melihat sikap pemimpin yang sebegini.
Sebelum ia merebak menjadi barah yang tidak dapat dikawal lagi, eloklah suatu bentuk kejutan dilakukan dari sekarang dan gerakan itu perlu bermula sekarang juga, ubah sikap lama yang buruk dan hodoh itu dan buang cara berfikir seperti pembangkang. Rakyat sentiasa melihat setiap tindak tanduk kamu sejak kamu mula memegang jawatan. Rakyat tidak pekak, buta dan bisu. Sudah ada kedengaran mereka yang berikrar tidak akan mengundi PH lagi dan mereka juga akan menghasut kaum keluarga dan rakan-rakan untuk menolak PH dalam pilihanraya akan datang. Jika tidak mahu berubah, bersedialah untuk kalah.
Gambar dari Malay Mail