KUALA LUMPUR, 11 Dis — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa saksi lain yang berkaitan untuk memberi keterangan susulan dakwaan Muhammed Yusoff Rawther dirinya dicabul presiden PKR itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka akan dipanggil setelah PDRM mendapat tarikh temu janji yang sesuai.
Beliau berkata pihaknya telah merakam keterangan Muhammed Yusoff pada Isnin lepas dan mengambil akuan bersumpah yang dibuat olehnya.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan,” katanya dalam kenyataan pada awal pagi ini.
Semalam, Muhammed Yusoff hadir semula ke Bukit Aman buat kali kedua untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Pada Sabtu, media melaporkan Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya dan dalam laporan sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan dengan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.
Rabu lepas, bekas pegawai penyelidik itu membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar pada 2 Okt tahun lepas, bagaimanapun, perkara itu dinafikan presiden PKR, yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan.
— BERNAMA