Arahan Dapat Kebenaran Perjalanan Rentas Negeri Ditangguh – KPN

Reading Time: < 1 minute

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menangguhkan arahan awal yang memerlukan orang awam mendapatkan kebenaran dari pihak polis jika mahu membuat perjalanan merentasi sempadan negeri di dalam negara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa pada Rabu (18 Mac).

Keputusan itu dibuat selepas orang ramai menyerbu ke balai polis untuk mendapatkan dokumen kebenaran tersebut di balai polis seluruh negara.

“Memandangkan orang awam berpendapat bahawa mereka boleh melakukan pergerakan jika mereka mendapat kelulusan dari pihak polis, maka berlakulah kesesakan yang serius di balai-balai dan juga perhentian bas.

“Sedangkan hanya mereka yang layak diberi pengecualian sahaja yang boleh dipertimbangkan untuk diberi kebenaran melakukan pergerakan rentas negeri,” kata Abdul Hamid.

Tambahnya, keperluan mendapatkan kebenaran itu ditangguhkan buat sementara waktu bagi meleraikan kesesakan yang dihadapi.

Beliau dalam satu sidang media petang tadi berkata kebenaran perjalanan rentas negeri hanya diberikan untuk hal-hal kematian ahli keluarga terdekat, sakit tenat, menjalani rawatan atau perkara lain atas budi bicara polis.

Ia dibuat dengan tujuan untuk membendung virus Covid-19 dari tersebar lebih luas kepada orang ramai di kawasan-kawasan yang dilawati.