IPOH | Ekoran pengakuan terbaru oleh banduan akhir Azilah Hadri mengenai pembunuhan bekas model Mongolia, Altantuya Shaaribuu pada 2006, Armada Bersatu Perak melalui Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh tampil membuat kenyataan agar tindakan segera diambil oleh Polis DiRaja Malaysia untuk membuka semula siasatan terbaru kes berprofail tinggi itu.
Armada Bersatu Perak berpandangan bahawa ia wajar dibuka semula berdasarkan maklumat terbaru yang dibuat melalui akuan bersumpah banduan akhir itu hari ini tidak wajar diketepikan.
Armada Bersatu Perak berpendapat sebagai seorang tahanan yang sedang menunggu tarikh hukuman mati, Azilah pada hakikatnya tidak mempunyai motif lain selain dari menyatakan kebenaran di dalam pengakuan beliau.
“Berdasarkan akuan bersumpah yang dibuat, Armada Bersatu Perak merasakan wujud keperluan yang kukuh dan pendedahan fakta baru yang menuntut perhatian Ketua Polis Negara untuk membuat siasatan yang lebih terperinci.”
“Kes ini pada hakikatnya amat berprofil tinggi dan telah mencemarkan nama baik negara di pentas antarabangsa. Armada Bersatu Perak menjunjung sepenuhnya prinsip menegakkan kebenaran, keadilan dan kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan yang diedarkan.
Hari ini, Azilah Hadri, bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, membuat pengakuan yang mengejutkan dari penjara Kajang mendakwa beliau mendapat arahan untuk membunuh wanita tersebut daripada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Datuk Seri Najib Abdul Razak bersama pegawai khasnya, Abdul Razak Baginda.
Datuk Seri Najib kemudiannya dilaporkan oleh portal tempatan hari ini menafikan dakwaan berkenaan sambil berkata ia adalah fitnah terbaru yang dibuat oleh Pakatan Harapan untuk memenjarakannya.
Najib juga turut berkata ia adalah rekaan oleh mereka yang terdesak untuk mengelakkan diri daripada tali gantung.
“Saya percaya ini adalah perjanjian antara kerajaan PH Harapan dan Azilah, yang menjanjikan hukuman mati itu akan dimansuhkan atau ditangguhkan sebagai balasan. Ini adalah percubaan untuk mengalih perhatian dan menyerang saya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.