Asas Ekonomi Kukuh, Pembaharuan Institusi Wajarkan Penarafan Moody’s

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 22 Jan  (Bernama) – Asas ekonomi yang kukuh dan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan institusi menyakinkan Moody’s bahawa Malaysia layak menerima penarafan kredit berdaulat yang tinggi pada paras A3 dengan unjuran stabil, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Daya saing yang tinggi, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang baik dan institusi yang berkesan antara faktor yang membantu Malaysia mengekalkan penarafan kredit berdaulatnya pada tahap A3 dengan unjuran stabil.

“Ini adalah pencapaian yang baik apabila dibandingkan dengan penurunan penarafan berdaulat yang dialami oleh beberapa negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini, yang memetik laporan analisis kredit tahunan Moody´s bertarikh 16 Jan, 2020.

Kekuatan ekonomi Malaysia adalah tinggi berbanding median bagi negara bertaraf A, terutamanya dari segi purata pertumbuhan KDNK.

Lim berkata ekonomi Malaysia yang berdaya saing, kompleks dan pelbagai menyumbang kepada daya tahan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan dunia yang timbul akibat perang perdagangan AS-China.

“Berserta dengan institusi yang sihat seperti yang diukur oleh Bank Dunia melalui Worldwide Governance Indicators (WGI), faktor-faktor ini menyediakan asas yang kukuh bagi Malaysia untuk membangun dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau turut menyatakan kumpulan petunjuk ekonomi negara yang semakin meningkat.

“Beberapa data ekonomi terbaharu menunjukkan ekonomi negara akan tumbuh dengan lebih pesat dalam beberapa bulan akan datang,” katanya, sambil merujuk kepada Indeks Pengurus Pembelian sektor pembuatan, Indeks Keyakinan Perniagaan RAM dan Indeks Pelopor.

Indeks Pengurus Pembelian sektor pembuatan bagi Disember 2019 naik kepada paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan, yang menunjukkan kepada pengembangan sektor pembuatan yang lebih pesat dalam masa terdekat.

Beliau berkata Indeks Keyakinan Perniagaan RAM pada separuh pertama 2020 berada pada paras yang kukuh, dengan sentimen dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencapai 54.2 mata, iaitu paras tertinggi sejak indeks tersebut mula diterbitkan pada 2017.

Indeks Pelopor bagi Oktober 2019 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 120.3 mata daripada bulan sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan aktiviti ekonomi pada suku tahun akan datang.

Antara statistik lain termasuklah kenaikan indeks pengeluaran perindustrian sebanyak 2.0 peratus pada November 2019 berbanding 0.3 peratus pada Oktober, peningkatan nilai jualan borong dan runcit sebanyak 5.3 peratus pada November 2019 berbanding 5.0 peratus untuk bulan sebelumnya, dan kadar pengangguran yang rendah pada 3.2 peratus pada November 2019.

Sementara itu, inflasi negara kekal rendah dan stabil pada 1.0 peratus pada Disember 2019.

“Kadar inflasi bagi 2019 hanya 0.7 peratus dan ini merupakan antara bacaan terendah di rantau ini.

“Kadar inflasi yang rendah ini jelas menunjukkan bahawa pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta penetapan harga siling RM2.08 per liter ke atas petrol RON95 berjaya mengawal kenaikan harga, berbanding pelaksanaan GST yang sebelum ini telah mengakibatkan inflasi naik setinggi hampir lima peratus,” kata Lim.

Beliau juga berkata Malaysia akan mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan AS-China, dengan prospek ekonomi akan bertambah cerah dengan ketegangan perdagangan yang berkurangan antara dua negara gergasi ekonomi itu.

“Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka yang berkait rapat dengan rantaian bekalan dunia. Sebarang peningkatan jumlah perdagangan dunia akan menaikkan permintaan untuk eksport Malaysia, dan seterusnya membantu meningkatkan pertumbuhan KDNK negara,” kata Lim, sambil menyatakan kerajaan mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang secara mampan pada 4.8 peratus pada tahun ini, iaitu lebih tinggi berbanding pertumbuhan 4.7 peratus yang dijangka pada 2019.