Bekas KPN Dedah Menteri Dalam Negeri Cuba Guna Cawangan Khas Demi Kepentingan Politik

Reading Time: 2 minutes

4 Mei, 2021 (Malaysiakini) – Bekas ketua polis negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan kisah di sebalik dakwaan bahawa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin melakukan campur tangan terhadap pelantikan pegawai kanan polis.

Hamid dipetik MalaysiaGazette mendakwa wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri itu untuk menentukan jawatan Pengarah Cawangan Khas (PCK) Bukit Aman.

Jelas Hamid, langkah itu dibuat bagi tujuan karier politik Hamzah, menyebabkan Cawangan Khas tidak senang dengan tindak tanduk menteri berkenaan yang dirujuknya sebagai “MDN” (Menteri Dalam Negeri).

“Saya dimaklumkan MDN telah memaksa JCK melakukan beberapa operasi bagi tujuan politik dirinya.

“Saya tidak boleh dedahkan operasi apa kerana setiap operasi JCK adalah rahsia tapi cukuplah untuk mengatakan bahawa objektif operasi itu tidak sesuai dengan mandat yang diberikan kepada JCK untuk memelihara serta menguruskan keselamatan negara,” Hamid dipetik sebagai berkata.

Hamzah sebelum ini mengaku adalah individu dalam rakaman audio yang membincangkan pelantikan pegawai kanan polis.

Hamid, menurut laporan itu mendakwa Cawangan Khas telah menolak untuk turut serta dalam operasi tersebut sebelum melaporkannya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Tambahnya, Muhyiddin bersetuju agar Jabatan Cawangan Khas (JCK) tidak boleh terlibat dalam kerja-kerja politik menyebabkan menteri terbabit marah.

Selepas itu katanya, Hamzah cenderung bekerjasama dengan bekas pegawai kanan JCK yang telah tamat kontrak tahun lalu.

“‘Menteri berkenaan dikatakan mengatur langkah untuk menjadikan ‘budaknya’ (bekas pegawai kanan JCK) menyandang jawatan PCK Bukit Aman kerana individu itu mudah mengikut arahan menteri.

“Sebagai bukti, pada 16 Februari lalu PCK sedia ada telah dipanggil oleh Ketua Setiausaha KDN sebelum meminta beliau mengakhiri kontraknya secara sukarela, jika tidak notis sebulan bagi pemberhentian kontrak akan diberikan.

“Menteri tersebut seolah-olah tidak sabar meletakkan ‘budaknya’ mengisi jawatan tersebut sedangkan kontrak PCK akan berakhir pertengahan Jun ini,” dakwa Hamid.

Hamid berkata, isu tersebut turut dibawa kepada pengetahuan Muhyiddin sebelum pengarah Cawangan Khas Bukit Aman diarahkan untuk terus berkhidmat.

Mohamed Farid Abu Hassan merupakan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dan dilantik memegang jawatan itu pada Jun 2019.

Hamid bersara sebagai Ketua Polis Negara semalam dan tempatnya digantikan oleh timbalannya, Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam kenyatannya semalam, Hamid berikrar akan terus berjuang dengan pasukan polis “dengan caranya sendiri” meskipun telah bersara.