Apa Guna Ilmu Agama Setinggi Langit Jika Takut Berterus Terang

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA (FMT) : Ilmu agama “tinggi melangit” ahli Dewan Ulama PAS adalah sia-sia jika tidak digunakan untuk telus dan membantu membanteras salah laku, termasuk campurtangan politik dalam urusan polis, kata Abdul Hamid Bador.

Hamid membuat teguran terbuka itu, apabila diminta mengulas kecaman Dewan Ulama PAS, susulan pendedahan beliau mengenai campurtangan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam urusan polis.

Hamid, yang bersara sebagai KPN semalam, menyifatkan teguran itu dibuat oleh “ulama politik”.

“Wahai para ulama politik sekalian, sila buka mata dan dengar tentang penjelasan diberikan sebelum mengkritik tindakan saya dedahkan campur tangan menteri dalam pengurusan polis.

“Bagi saya, apa gunanya ilmu agama tinggi melangit yang ada pada diri masing-masing tetapi takut untuk berterus-terang selain tidak berusaha untuk mengatasinya,” Hamid dipetik berkata oleh MalaysiaGazette.

Kelmarin, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Mohd Nor Hamzah, mempersoalkan kenapa Hamid tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan yang dibuatnya itu semasa masih menjadi KPN.

Beliau menuduh Hamid membuat tuduhan terhadap Hamzah tanpa mengikut saluran rasmi untuk “mengundang sangkaan berunsur fitnah dan dakyah terhadap politik semasa”.

Bagaimanapun, Hamid menegaskan beliau telah membawa isu-isu bersabit campurtangan Hamzah itu kepada pihak berkenaan terlebih dahulu.

“Sudah saya jelaskan bagaimana aduan telah saya buat kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara tentang hal ini (campurtangan Hamzah). Adakah para ulama politik ini tidak faham tentang penjelasan itu?”

Jumaat lalu, pada sidang medianya akhirnya sebagai pegawai tertinggi polis, Hamid mendakwa Hamzah “sejak awal lagi di mesyuarat pertama Suruhanjaya Pasukan Polis” mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan penempatan pegawai polis.

Beliau juga mendakwa Hamzah di sebalik pengeluaran “surat keramat” untuk menangguhkan pertukaran pegawai yang dikaitkan dengan isu-isu tertentu.

Susulan itu, Hamid juga mendakwa Hamzah “memaksa” Cawangan Khas Bukit Aman menjalankan beberapa operasi dengan tujuan politik untuk manfaat menteri itu.

Selain itu, Hamzah juga “mengatur langkah” untuk menjadikan “budaknya” pengarah Cawangan Khas, katanya.