Tiada ‘lockdown’ penuh Sebab Kabinet Muhyiddin Cemas

Reading Time: 2 minutes

22 Mei (The Third Force) – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Jemaah menteri dikatakan cemas susulan penularan wabak Covid-19 pada tahap kritikal tanpa tanda-tanda akan surut.

Apa yang memarahkan rakyat ialah bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan negara kita telah melalui pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh setahun setengah dan Darurat sejak Januari lalu.

Pihak yang paling terkesan ialah golongan peniaga kecil dan sederhana besar yang mengalami kerugian begitu teruk, menyebabkan puluhan ribu terpaksa gulung tikar disebabkan faktor ketakutan rakyat dan SOP yang tidak menentu dan asyik berubah-ubah serta tempoh kwalan pergerakan yang tidak masuk akal.

Sekiranya Muhyiddin menguatkuasakan ‘lockdown’ penuh sekarang, ekonomi negara yang sudah sedia terjejas dan dilaporkan antara terburuk di rantau ini akan terus merosot ke tahap yang sudah pasti melumpuhkan negara.

Manakala itu, sekiranya lockdown penuh tidak dikuatkuasakan, penularan wabak Covid-19 yang mula menggila sebaik selepas Pilihan Raya Negeri Sabah tidak akan surut ke tahap satu atau dua digit sampai bila-bila.

Inilah dilemma yang sedang dihadapi oleh Muhyiddin, dan kemarahan rakyat telah memuncak ke tahap amat kritikal malah mencetuskan rusuhan di Batu Pahat dan pergerakan “Kerajaan Gagal” di seluruh negara.

Rata-ratanya, rakyat tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan yang dilihat sebagai zalim dan berlandaskan politik darjat, wang, kuasa dan kedudukan serta memberi tumpuan hampir sepenuhnya kepada misi ‘menakluki’ negeri pembangkang dan isu kepartian, bukannya isu kemasyarakatan.

Raykat turut tidak berpuas hati apabila pemimpin kerajaan sentiasa melaung-laungkan perlunya rakyat mematuhi SOP, seolah-olah rakyatlah yang bertanggungjawab terhadap penularan wabak Covid-19.

Walhal, satu Malaysia tahu bahawa keadaan sekarang berpunca dari sifat kemaruk kuasa kepimpinan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang berlumba-lumba untuk ‘menakluki’ Sabah tanpa memberi penekanan sewajarnya terhadap pematuhan SOP ketika kempen Pilihan Raya.

Muhyiddin tidak pernah meminta maaf di atas kegagalan kerajaan malah terus menerus memperbodohkan rakyat dengan lafaz “kerajaan prihatin” setiap kali beliau membuat perutusan.

Ini turut menyumbang kepada kemarahan rakyat sehingga media sosial kini menjadi platform utama untuk mengkritik dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Hakikat tetap hakikat, dan hakikatnya, kerajaan tidak mampu menghulurkan wang bantuan kepada semua rakyat yang terkesan jika lockdown penuh dilaksanakan, di mana beratus ribu lagi akan mengangur dan beratus ribu peniaga akan menggulung tikar.

Jika Muhyiddin terus degil dan cuba mempertahankan kedudukannya, negara yang sudah sedia tenat mungkin akan musnah terus dari sudut ekonomi, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

Tetapi jika Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada penubuhan kerajaan perpaduan, kepimpinan kerajaan baharu mungkin akan mendedahkan segala salah laku Muhyiddin dan menghukum menteri-menteri yang menyalahgunakan kuasa atau terlibat dengan rasuah.