Nampak gayanya, lepas setahun menerajui negeri Perak, Pakatan Harapan sudah mula menunjukkan sedikit perangai typical UMNO atau setidak-tidaknya perangai sikap hodoh yang biasa terdapat pada pemimpin Barisan Nasional – suka bergaya dan melaram dengan kereta baru.
Berita sudah heboh di seluruh negeri disertakan dengan gambar disiarkan di beberapa portal dalam talian menunjukkan barisan EXCO kerajaan negeri Perak menerima 16 buah kereta baharu jenis Toyota Camry dengan kos sebanyak RM1.74 juta.
Sebuah portal memetik kenyataan ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How yang berkata langkah itu ‘sejajar’ dengan dasar kerajaan negeri sedia ada yang membolehkan menukar kenderaan pada setiap lima tahun.
Kulup membaca kenyataan ini berbunyi defensif, sebagai persiapan untuk membina pertahanan kerana Howard sudah tahu tindakan terbaru kerajaan negeri ini akan dikecam bukan saja oleh parti pembangkang malah rakyat biasa iaitu orang ramai seperti Kulup.
“Saya fikir ia merupakan keputusan pengurusan yang sangat logik dan sangat mudah.
“Tiada pelanggaran undang-undang dan tidak ada dasar yang tidak dipatuhi,” katanya seperti yang dipetik dari portal Malaysiakini semalam.
Jelas sekali kenyataan beliau merupakan kenyataan bersifat defensif dan beliau seperti sudah menduga bentuk serangan yang akan dilancarkan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan langkah terbaru kerajaan negeri itu.
Antara alasan yang tidak munasabah yang diberikan ialah kereta lama menelan kos penyelenggaraan yang tinggi berbanding membeli kereta baharu. Kereta yang lama (tidak sampai 20 tahun) katanya selalu rosak dan menyebabkan mereka datang lewat. Kulup biasa mendengar pemimpin yang datang lewat tapi jarang sekali mendengar kereta mereka rosak.
Benarkah begitu? Membeli kereta baharu dengan harga RM1.74 juta lebih jimat dari menyelenggara kereta lama yang melebihi nilai tersebut?
Jika dibuat perkiraan, jumlah RM1.74 juta dibahagi 16 buah kereta, bermakna sebuah kereta memerlukan kos penyelenggaraan sekurang-kurangnya RM108,750 dalam masa 5 tahun atau RM21,750 setahun atau RM1,812.50 sebulan. Adakah mereka menukar keempat-empat tayar dan menukar minyak enjin setiap bulan dengan nilai itu?
Apakah jenis kerosakan yang perlu dibaikpulih setiap bulan sehingga mencecah RM1,800 sebulan sedangkan Toyota Camry adalah model kereta yang dianggap berkualiti dan dibanggakan, tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi malah ia juga jimat penggunaan bahanapi. Penggunaan bahan api adalah tidak termasuk dalam kos penyelenggaraan.
Rakyat marhaen sedang melihat setiap gerak geri pemimpin. Mereka ada mata dan telinga. Tindakan terbaru ini jelas akan mula mengikis semula sokongan sebahagian rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan. Mereka menolak BN kerana benci melihat tingkah laku yang suka berfoya-foya, melaram dengan kekayaan serta membolot harta. Jika PH juga buat perkara yang sama, tidak mustahil rakyat akan kembali menolak pemimpin yang punya perangai yang sama. Maka akan terjadilah kerajaan Pakatan Harapan kerajaan satu penggal sahaja.
Kulup akui tidak suka berbicara tentang hal sebegini kerana ia akan memberi imej buruk kepada pimpinan kerajaan negeri tapi apabila mereka sendiri yang melontarkan tahi ke tengah jalan, Kulup tidak boleh melihat perkara sebegini dilakukan.
Tulisan di atas adalah pendapat peribadi penulis Ianya tidak semestinya mewakili pendapat rasmi Independent.