China Juara Piala Thomas Kali ke-10

Reading Time: < 1 minute

China merangkul kejuaraan Piala Thomas buat kali ke-10 selepas berjaya menjinakkan Jepun 3-1 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Impact Arena di Bangkok, Thailand, hari ini.

Kekalahan Jepun yang dibimbing oleh lagenda Korea Selatan, Park Joo Bong telah gagal mengulangi kejayaan pasukan wanitanya semalam yang berjaya menjulang Piala Uber selepas menewaskan tuan rumah Thailand 3-0.

Beregu kedua, Li Junhui-Liu Yuchen menjadi wira buat skuad China apabila menghadiahkan mata kemenangan selepas berhempas pulas untuk mengalahkan pasangan Keigo Sonoda-Yuta Watanabe,

Beregu China itu bermula dengan langkah kiri apabila tumpas pada set pertama 17-21 sebelum bangkit 21-19 dalam set kedua dan seterusnya mencipta kemenangan 22-20 dalam rubber set.

Pada aksi pembukaan, juara Olimpik, Chen Long gagal memberikan mata pertama selepas tewas dalam straight set 9-21, 18-21 kepada pemain nombor 12 dunia, Kento Momota dalam pertarungan selama 62 minit.

Momota gagal menewaskan Chen yang juga merupakan pemain nombor lima dunia dalam empatpertemuan mereka sebelum ini.

Tersentak dengan kekalahan acara perseorangan pertama, China bangkit untuk menyamakan kedudukan apabila beregu Liu Cheng-Zhang Nan berjaya menumbangkan Takuto Inoue-Yuki Kaneka 2-10, 21-18.

Perseorangan kedua China, Shi Yu Qi yang juga merupakan pemain nombor tiga dunia tampil di gelangggang selepas itu untuk berhadapan dengan pemain nombor 14 dunia, Kenta Nishimoto.

Yu Qi berjaya memenangi perlawanan itu dengan mudah 21-12 pada set pertama dan 21-17 pada set kedua untuk memberikan China mata keduanya dan menjadikan kedudukan 2-1.

Selepas itu tiba aksi Junhui dan Yuchen sebagai beregu kedua China yang berjaya memberikan negara kuasa besar badminton dunia itu Piala Thomas mereka yang ke-10.

– Bernama