Enam Terbunuh Bangunan Hotel Kuarantin Pesakit Koronavirus Runtuh

Reading Time: < 1 minute

BEIJING: Sudah jatuh, ditimpa tangga, begitulah perumpamaan apabila sebuah hotel yang digunakan sebagai pusat kuarantin untuk menempatkan pesakit koronavirus runtuh mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh di timur China, lapor Kementerian Pengurusan Kecemasan pada Ahad (8 Mac).

Para penyelamat juga telah mengeluarkan 38 mangsa dari runtuhan, dengan lima dalam keadaan kritikal atau serius, daripada 71 pada awalnya terperangkap, kata kementerian itu.

Tingkat pertama bangunan telah menjalani kerja-kerja pengubahsuaian sejak sebelum Tahun Baru, dan pekerja-pekerja binaan telah memanggil pemilik hotel melaporkan kecacatan tiang beberapa minit sebelum kejadian runtuhan, kata agensi berita rasmi Xinhua.

Pemilik bangunan telah dipanggil oleh polis, menurut Xinhua.

Futej yang beredar di platform microblogging Weibo menunjukkan pekerja penyelamat yang mengeluarkan runtuhan hotel Xinjia 80 bilik itu dalam kegelapan ketika mereka menenangkan seorang wanita yang terperangkap di bawah serpihan yang berat dan membawa mangsa yang cedera ke dalam ambulans.

Rakaman lain yang diterbitkan oleh media tempatan, yang dikatakan dari kamera keselamatan di seberang jalan, menunjukkan seluruh hotel runtuh dalam beberapa saat.

Kementerian Pengurusan Kecemasan China berkata kira-kira 200 anggota bomba tempatan dan 800 orang anggota bomba Fujian telah dikejarkan ke tempat kejadian bersama-sama 11 pasukan mencari dan penyelamat dan tujuh anjing pengesan, menurut Xinhua.

Pihak berkuasa Quanzhou berkata, ambulans, jengkaut dan kren juga dilancarkan ke tapak tersebut. Wakil-wakil dari Beijing juga sedang dalam perjalanan ke Quanzhou untuk membantu dalam usaha bantuan, kata Xinhua.

Quanzhou telah mencatatkan 47 kes jangkitan koronavirus dan hotel yang dibuka hanya dua tahun yang lalu, baru-baru ini diberi peranan untuk menempatkan orang-orang yang mempunyai kontak rapat dan mereka yang disahkan dijangkiti koronavirus, kata akhbar harian harian rakyat itu.

Sumber: AFP / ek