Pemimpin Pintu Belakang Didahulukan, Rakyat Dibelakangkan

Reading Time: 3 minutes

ULASAN

  1. Perubahan Kerajaan Malaysia melalui pintu belakang baru-baru ini membawa banyak kesan negatif kepada rakyat. Islam menuntut umat nya memasuki rumah melalui pintu hadapan secara beradab dan menghormati tuan punya rumah.
  2. Perubahan kerajaan baru-baru ini melihat UMNO – PAS dan Muhyiddin bukan hanya memasuki rumah rakyat melalui pintu belakang, tetapi salam pun tidak diberi kerana memasuki rumah secara senyap-senyap.
  3. PAS yang mendakwa sebuah parti Islam, telah melakukan pengkhianatan yang sama yang telah di lakukan kepada kerajaan PAS Perak apabila UMNO – BN merampas negeri tersebut tanpa pilihanraya. Hari ini apa yang PAS kata dahulunya haram mereka pula melakukannya bersama rakan rampasan kuasa Perak dahulu.
  4. Kalau dahulu PAS kata mereka hendak membimbing UMNO cara Islam, nampak gaya realiti hari ini UMNO lah mengajar PAS bagaimana nak rampas kerajaan melalui pintu belakang.
  5. UMNO memimpin, PAS mengikutnya hari ini.
  6. Sudah seminggu Tan Sri Muhyiddin dilantik Perdana Menteri tetapi Kabinet masih belum wujud walaupun Malaysia dan dunia menghadapi wabak virus Covid -19 yang berbahaya.
  7. Bukan hanya yang tiada masih belum di bentuk, tetapi yang ada seperti MPKK pula di gantung tidak dibenarkan berfungsi dan alaun anggotanya pun di hentikan di saat ramai tidak mempunyai pekerjaan.
  8. Bukan sahaja rakyat yang sedang keliru dan bingung dengan rampasan kuasa pintu belakang tetapi keadaan bertambah parah apabila struktur organisasi masyarakat di peringkat akar umbi pula di gantung tanpa sebab.
  9. Di negara lain organisasi peringkat akar umbi diperkukuhkan dan dimantapkan lagi bagi menghadapi ancaman virus Covid-19 tetapi di Malaysia atas sebab politik pintu belakang kita mengambil langkah ke belakang. Negara maju Jepun, Amerika dan Korea Selatan pun bermasalah menghadapi virus tersebut, tetapi Malaysia bertindak sebaliknya dengan langkah tidak bertanggungjawab dan angkuh demi politik rakus.
  10. Hari ini Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong menyatakan kebimbangan Baginda tentang 28 kes baru Covid-19 dan meminta orang ramai memberi kerjasama kepada Kementrian Kesihatan menangani dan menyiasat kes Covid-19.
  11. Baginda Tuanku telah menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap kebajikan rakyat. Malangnya selepas begitu lama Perdana Menteri masih belum boleh melantik Menteri Kesihatan dan juga Kabinet.
  12. Amat menyedihkan Tan Sri Muhyiddin tidak menunjuk keprihatinan yang sama mengutamakan keselamatan rakyat seperti Tuanku Agong kerana terlalu asyik dengan perebutan jawatan politik dalam Perikatan Nasional.
  13. Ramai yang meminta bekas Menteri Kesihatan Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad di lantik semula sebagai Menteri Kesihatan interim kerana beliau telah menjalankan tugas yang baik sebelum ini menangani isu virus Covid-19 tetapi kerajaan masih membisu. Walaupun seorang pegawai Khazanah kerajaan telah di jangkiti virus tersebut dan kelihatan bergaul bebas di kalangan pegawai lain tiada arahan kuarantin atau pengasingan diarahkan.
  14. Malaysia kini kelihatan tidak ada pemimpin nasional yang boleh mengemudi negara dengan tiadanya lagi kabinet dan persidangan Parlimen di tangguh lagi dua bulan sementara orang Muhyiddin, UMNO dan PAS sedang berebut jawatan.
  15. Negeri Melaka, Perak dan Kedah masih bergolak dengan penyamun ingin merampas kuasa melalui pintu belakang dan rakyat merasa resah.
  16. Inilah akibatnya rampasan kuasa pintu belakang oleh mereka melalui usaha bersama penyamun serta perompak yang mendahului nafsu kuasa dan kekayaan dengan berpuluh kes kes rasuah seperti Najib Razak, Zahid Hamidi dan Tengku Adnan yang mahkamah di beri tahu mempunyai aset sebanyak hampir RM1,000,000,000.00 atau hampir satu Billion.
  17. Diri mereka didahulukan dan kebajikan rakyat dibelakangkan.
  18. Bagi mereka yang makin keliru dengan pergerakan serta penghijrahan ahli politik dari satu parti kepada parti lain dalam usaha sedang merebut kuasa, saya ingin menyeru mereka bersabar dan memilih parti yang stabil dengan pimpinan berprinsip teguh.
  19. Alhamdullilah, sehingga kini AMANAH yang bersama PAKATAN HARAPAN kelihatan paling stabil dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan kami.
  20. KAMI MENGALU ALUKAN MEREKA YANG INGIN BERSAMA AMANAH BERJUANG DI ATAS DASAR RAHMATAN LILALAMIN (RAHMAT UNTUK SEMUA)
  21. Tiada berkat rampasan kuasa melalui pintu belakang ini dan kelemahannya makin jelas kelihatan dengan kegagalan membentuk Kabinet kerana perebutan jawatan, melambatkan sidang Parlimen, menggantung perjalanan MPKK di kampung dan desa dan kelemahan menangani wabak virus Covid 19.
  22. Kerajaan Muhyiddin patut mengambil berat dan mencontohi keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam menjaga keselamatan rakyat menangani ancaman serius Covid-19 di Malaysia. Rakyat Malaysia menyanjung tinggi keprihatinan Tuanku Agong.
  23. Rakyat Malaysia ingin melihat kerajaan berfungsi dengan baik dan prihatin menghadapi isu isu kritikal yang melanda negara dan kurang mementingkan politik dalaman sesama sendiri. Laksanakanlah tanggungjawab sebaiknya untuk rakyat dengan kuasa yang telah diperolehi.
  24. Malangnya di bawah Kerajaan Perikatan Nasional, PEMIMPIN PINTU BELAKANG DIDAHULUKAN, RAKYAT DIBELAKANGKAN.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
7 Mac 2020

Raja Kamarul Bahrin adalah Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Terengganu. Tulisan ini disiarkan di laman Facebook beliau pada 7 Mac 2020. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendapat rasmi Independent.