IPOH | Seorang lelaki meninggal dunia dan satu pasangan suami isteri dikejarkan ke hospital dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta masing-masing menuju ke arah Jalan Raja Muda Musa Mahadi pada kira-kira pukul 5.45 pagi ini.
Kejadian berlaku di jalan Persiaran Wira Jaya Timur 50 di mana kereta Perodua Kenari dari arah Taman Rapat Indah dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta Proton Iswara yang dinaiki sepasang suami isteri Cina.
Menurut pegawai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Fakhrulrazi bin Johari, kenderaan Kenari yang dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang kereta Iswara dan terbabas lalu terbalik.
“Mangsa cedera di kepala dan disahkan oleh pegawai KKM (yang tiba sejurus kemudian) telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kereta Proton tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar paip air di tepi jalan menyebabkan ia pecah. Pemandu Kenari itu, lelaki India berumur 23 tahun adalah pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara yang sedang menjalani latihan praktikal di Ipoh manakala pasangan suami isteri yang menaiki Proton itu adalah peniaga yang sedang dalam perjalanan ke tempat mereka berniaga di UTC Ipoh.
Menurut pegawai penyiasat trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Inspektor Mohd Izarrie bin Shafie, mangsa yang memandu Kenari dipercayai memandu laju kerana mengikut aduan yang diterima dari pasangan suami isteri itu kenderaan mereka dilanggar secara tiba-tiba dari arah belakang hingga menyebabkan kenderaannya hilang kawalan. Pasangan itu yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan namun telahpun dibenarkan pulang beberapa jam kemudian, menurut Ins. Izarrie.
Bercakap kepada Independent, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. Ditanya sama ada ia melibatkan penggunaan alkohol, Mohd Izarrie berkata postmortem telah dilakukan dan sampel darah telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian.
“Jika tiada banyak kes, kebiasaannya keputusan ujian akan diketahui dalam masa sebulan,” katanya.