Hanya Mereka Yang Terkandas Di Kampung Boleh Memohon Untuk Kembali Ke Bandar

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Hanya mereka yang terkandas di kampung halaman dan ingin kembali semula ke rumah mereka di bandar dibenarkan memohon perjalanan antara negeri, menurut Menteri Pertahanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

“Terdapat kekeliruan … mereka yang berada di bandar nak balik ke kampung tidak boleh, dari awal lagi kita telah kata tidak boleh ada pergerakan dari bandar ke kampung,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan pada 18 Mac lalu, ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung dan menghadapi masalah untuk kembali ke rumah mereka di kawasan bandar ekoran sekatan jalan raya yang diadakan di seluruh negara.

Katanya, kebenaran untuk kembali ke bandar ini tidak sama dengan kelonggaran yang akan diberikan kepada pelajar IPTA/IPTS untuk kembali ke rumah setelah lebih sebulan berada di kampus kerana kesihatan mereka sentiasa dipantau oleh pihak institusi pengajian sementara status kesihatan mereka yang mahu pulang ke kampung tidak diketahui.

Beliau bagaimanapun berkata keputusan belum dibuat lagi walaupun mereka yang ingin kembali ke bandar dibenarkan untuk mendaftar ke balai polis atau melalui dalam talian mulai 25 Apr nanti.