IPOH | Lanjutan dari tindakan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merobohkan gerai peniaga di Jalan Pengkalan Barat 32, Stesen 18 pada Rabu lalu, wakil rakyat Tebing Tinggi, YB Dr. Abdul Aziz Bari telah mengadakan pertemuan tidak formal dengan para peniaga yang terkesan untuk membincangkan permasalahan mereka di sini hari ini.
Menurutnya, pertemuan diadakan adalah sebagai penghubung antara para peniaga dengan pihak kerajaan negeri khususnya MBI. Katanya, kerajaan negeri memandang berat masalah yang dihadapi oleh para peniaga kerana ia memberi imej yang tidak baik pada pandangan rakyat akar umbi.
Beliau juga menzahirkan rasa terkilan apabila pihak MBI bertindak tanpa memaklumkan kepada pejabat wakil rakyat yang beliau wakili terlebih dahulu. Katanya, jika beliau dimaklumkan lebih awal, setidak-tidaknya beliau dapat melakukan sesuatu sebelum ia dirobohkan. Sebaliknya beliau hanya menyedari operasi merobohkan gerai pada hari ia dilakukan.
“MBI selaku agensi di bawah kerajaan PH (Pakatan Harapan) seharusnya akur dan menghormati kedudukan pejabat saya … sebagai ‘government of the day,’ kita rasa bertanggungjawab terhadap rakyat. Agak aneh kerana (salinan) notis tidak dihantar kepada pejabat saya sebagai wakil rakyat (kawasan itu).
“Kita serius dalam mebasmi kemiskinan … perkara seperti ini akan ditangani segera terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini.” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sebuah restoran di Taman Shatin hari ini.
Beliau berkata lagi, para peniaga tersebut mengalami kerugian di antara 60 hingga 70 ribu ringgit dan lebih malang ia melibatkan peniaga-peniaga kecil yang menyertai skim Amanah Ikhtiar, skim kredit mikro kelolaan kerajaan yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan di Malaysia.
Aziz juga mengingatkan supaya agensi kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan dengan membelakangi wakil rakyat sesuatu kawasan.
“Jangan bertindak seolah-olah Wakil Rakyat, Ahli Majlis, Pengerusi MPKK atau AJK tidak wujud,” katanya.
Menyentuh tentang pertemuan dengan para peniaga hari ini, beliau akan mencari jalan penyelesaian dengan mencari tapak perniagaan lain yang lebih sesuai, dilengkapi surau, tandas dan kawasan parkir yang tidak mengganggu lalulintas. Beliau juga mencadangkan kepada peniaga-peniaga yang terkesan suaya menubuhkan persatuan supaya dapat memudahkan kerajaan berurusan dengan mereka.
Pada 16 Oktober lalu, MBI telah menggunakan kenderaan jentolak merobohkan 5 gerai peniaga di sekitar Jalan Pengkalan Barat 32, Stesen 18. Menurut maklumat yang diberitahu kepada kami, notis mengosongkan tapak gerai telah dihantar kepada peniaga di situ sejak Janurai tahun ini tetapi peniaga mendakwa mereka tidak pernah menerima notis berkenaan.