SITIAWAN | Jajaran Seksyen 9 dan 10 dari Kampung Lekir, Sitiawan ke Beruas, Perak, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) kini dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula malam tadi.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, pembukaan jajaran sepanjang 45 kilometer itu dapat menjimatkan masa selama 30 minit ke Pekan Beruas.
Katanya lagi, terdapat lima persimpangan keluar masuk di sepanjang jajaran tersebut iaitu persimpangan Kampung Lekir, Sitiawan, Sitiawan Utara, Changkat Chermin dan Beruas.
“Ia akan menjadi laluan pintas kepada penduduk tempatan di sekitar Teluk Intan, Kampung Lekir, Sitiawan, Beruas dan Seri Iskandar,” katanya di Majlis Pembukaan Jajaran Seksyen 9 dan 10 WCE di Plaza Tol Kampung Lekir pada Isnin.
Ini merupakan pembukaan jajaran yang kedua selepas pembukaan pertama di jajaran Seksyen 8 dari Persimpangan Hutan Melintang ke Persimpangan Teluk Intan pada 31 Mei lalu.
Lebih 600,000 kenderaan telah menggunakan laluan Seksyen 8 sebagai jalan pintas kepada penduduk sekitar sempadan Selangor dan Perak di sekitar Sabak Bernam, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan.
“Jajaran tersebut juga dapat memendekkan masa perjalanan dengan anggaran 11 minit berbanding penggunaan laluan Jalan Persekutuan FT005 dan turut memiliki kemudahan awam seperti surau dan bilik air bersebelahan Plaza Tol Hutan Melintang dan Plaza Tol Teluk Intan.