Kadar Tol PLUS Dikurangkan 18 Peratus, Tiada Kenaikan Hingga 2058

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 17 Jan — Kadar tol bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dikurangkan 18 peratus bermula 1 Feb 2020, dan tiada kenaikan kadar tol akan berlaku sehingga 2058.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini berkata keputusan penting berkaitan PLUS, yang turut diputuskan kekal milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk pengurangan kadar tol dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Jan lepas.

Sejajar dengan keputusan itu, tempoh konsesi untuk semua lebuh raya PLUS dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058 bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan, menurut kenyataan itu.

Lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

Dengan pengurangan sebanyak 18 peratus, kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan sebagai contoh akan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, dan apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu itu lebih rendah daripada kadar tol pada 1999 iaitu 11.24 sen/km.

Sebagai contoh, kadar tol baharu Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan pada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47 sekarang.

“Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut,” menurut kenyataan PMO itu.

Menurut PMO, walaupun perjanjian konsesi sebelum ini memperuntukkan kenaikan kadar tol secara berperingkat namun keputusan terbaru itu akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun iaitu dari 2020 sehingga 2058.

Pejabat Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa kerajaan tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, dan kerajaan bakal mendapat penjimatan yang dianggarkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi tersebut.

“Penjimatan RM42 bilion kini boleh digunakan oleh kerajaan untuk inisiatif-inisiatif yang menguntungkan rakyat,” kata PMO.

PMO berkata PLUS kekal sebagai pengendali dan akan terus memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan.

Mengenai keputusan Khazanah dan KWSP kekal sebagai pemegang saham PLUS, PMO berkata ia dibuat berdasarkan kajian lebih setahun dan pertimbangan menyeluruh pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Jemaah Menteri telah menyemak dan menimbang pelbagai cadangan yang telah dikemukakan, agar dapat memutuskan keputusan terbaik untuk semua pihak, terutamanya rakyat,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan yakin keputusan tersebut akan memberi banyak manfaat kepada rakyat melalui pengurangan beban kadar tol, dan dalam masa yang sama, membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.

Pelaksanaan pengurangan kadar tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham PLUS, kata PMO.

— BERNAMA