Satu dari 3 lelaki Malaysia merokok. Jumlah perokok sentiasa bertambah setiap hari dengan remaja mula berjinak-jinak dengan rokok akhirnya ketagihan nikotin membuatkan mereka menjadi perokok tegar setiap hari.
Kepada perokok, sudah tiba masa untuk membiasakan diri dengan persekitaran tanpa rokok. Denda bukan perkara yang melucukan.
Sama ada anda mengambil langkah bijak untuk berhenti merokok atau anda terus dengan tabiat buruk itu, anda perlu berhati-hati selepas ini kerana kawasan yang dibenarkan merokok semakin mengecil. Malah di tempat awam dengan bumbung separuh seperti di hentian bas juga tidak dibenarkan merokok.
Bukan saja kawasan merokok semakin dikecilkan, malah harga rokok juga bakal naik. Sudah kelihatan beberapa restoran mamak yang biasanya menjual pelbagai jenama rokok mula mengosongkan peti jualan rokok di kaunter bayaran kerana mereka tidak lagi mahu menjadi penjual rokok. Hanya tinggal kedai jenis serbaneka seperti 7-Eleven yang masih menjual rokok. Ramai sudah sedia maklum kedai ini turut menjual arak, maka tidak hairanlah mereka akan terus membekalkan rokok walaupun harganya makin meningkat saban tahun.
Untuk mendepani cabaran yang cukup menduga kesabaran para perokok, berikut beberapa saranan untuk mereka lakukan dalam menangani dugaan tersebut:
1. Hentikan merokok di dalam kereta persendirian sama ada anda memandu atau penumpang terutama jika anda bersama penumpang yang tidak merokok di dalam kereta yang sama. Anda boleh disaman walaupun di dalam kenderaan sendiri.
2. Tempat kerja, sekolah, hospital, restoran berhawa dingin atau tidak, masjid, kuil, tokong, tandas awam, stesen bas dan teksi, dalam bas, pusat beli belah, stesen minyak, stadium, semuanya adalah kawasan larangan merokok. Jangan sesekali cuba untuk merokok di tempat ini.
3. Jika anda tidak boleh berhenti, cuba kurangkan kekerapan merokok. Kalau dahulu anda menyedut sekotak 20 batang rokok sehari, cuba kurangkan kepada setengah iaitu 10 batang. Kawal keinginan anda buat beberapa ketika. Anda boleh lakukan di bulan puasa, mengapa tidak boleh bertahan beberapa jam? Berkurangnya tempat yang dibenarkan merokok juga boleh membantu anda melupakan hasrat untuk merokok buat seketika sebelum anda menemui kawasan yang dibenarkan.
4. Statistik menunjukkan negara-negara maju di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri telah berjaya mengurangkan jumlah perokok. Mereka membudayakan masyarakat bahawa merokok itu suatu tabiat yang buruk dan dipandang buruk oleh orang ramai. Mereka yang merokok merasa segan untuk merokok, ada yang merokok secara sembunyi-sembunyi kerana tidak mahu dilihat atau diketahui punya tabiat buruk. Jika anda fikir mahu menjadi penduduk dalam negara maju, berhentilah merokok.
5. Statistik perokok hanya bertambah di negara-negara dunia ketiga seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina serta negara Timur iaitu China, Rusia dan Korea. Yang peliknya, negara-negara di selatan Afrika dan Amerika Selatan juga kurang jumlah perokok berbanding Amerika Utara. Di Indonesia, 2 dari setiap 3 orang lelaki adalah perokok. Mereka mula merokok sejak di bangku sekolah.
6. Imej-imej ngeri kerosakan organ tubuh akibat rokok pada kotak rokok tidak memberi kesan menakutkan kepada perokok. Menaikkan lagi harga rokok boleh membantu perokok berfikir sejenak untuk cuba berhenti merokok dan sayangkan wang mereka.
7. Ketagihan terhadap rokok adalah disebabkan kandungan nikotin di dalam tembakau. Rasa rokok berbeza-beza mengikut jenama adalah kerana jenis campuran bahan kimia dan kuantiti setiap bahan kimia tersebut mengikut formula yang ditentukan. Ada bahan kimia yang dicampur bertujuan untuk memberi ‘kelembutan’ terhadap asap yang terhasil dari tembakau supaya ia tidak memeritkan tekak. Ada yang diguna sebagai penambah aroma sebagai identiti jenama tertentu. Mereka yang telah ketagih akan berfikir mereka sangat mengenal bau asap rokok tertentu dan mula mencari rokok dengan segera padahal mereka telah mengalami ketagihan terhadap rokok jenama tersebut.
8. Jika anda tidak sayangkan diri anda, fikirkanlah keluarga, anak dan isteri anda yang sentiasa menghidu bau asap rokok di dalam rumah. Fikirkan kesan jangka panjang terhadap mereka yang menyedut ‘second-hand smoke’ yang lebih berbahaya dari asap pertama yang anda sedut.
Pengarang ialah bekas perokok selama lebih 20 tahun dan telah berhenti merokok secara mengejut tanpa menggunakan vape, lozenge atau mana-mana kaedah terapi. Ianya tidak mustahil jika anda ada keinginan yang kuat untuk berhenti.